Isu sama ada pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan berminat menyertai KEADILAN boleh dibincangkan kerana parti itu bersifat terbuka.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi pertukaran parti pemimpin dalam komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah berlaku dan bukanlah sesuatu yang asing.
"Prinsipnya dulu parti KEADILAN memang terbuka, ada pemimpin kita pernah jadi Setiausaha Agung AMANAH, ada pemimpin DAP jadi calon kita.
"Ada juga calon kita keluar masuk DAP. Jadi KEADILAN selama ini buka ruang, selalu runding dengan baik, itu keadaannya. Macam Tengku Zafrul juga dalam keadaan sama.
"Selama ini dari segi dasar kita, pengalaman dalam PH, kita tidak galakkan tetapi tidak pernah menghalang namun hormat keputusan mereka dengan hubungan baik antara parti," katanya kepada pemberita sempena Kongres Khas KEADILAN di Shah Alam, hari ini.
Bagaimanapun, katanya sekiranya terdapat pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang ingin menyertai parti dalam situasi semasa, maka perbincangan perlu diadakan secara baik.
"Sekarang ini ada perbincangan awal… perbincangan dulu… prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti termasuk UMNO adalah baik," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan spekulasi Tengku Zafrul akan menyertai KEADILAN namun Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia itu masih belum membuat sebarang kenyataan media mengenai hal berkenaan.
Comentários