Isu tarif, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak, projek rakyat keutamaan PM
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan beberapa perkara kebagai keutamaan untuk dipantau dalam lawatannya ke Sarawak semalam.
Meskipun kunjungan Hari Raya Aidilfitri namun beliau terus menghadiri pertemuan dengan pemimpin Kerajaan Negeri di Wisma Bapa Malaysia untuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak sebaik mendarat di Kuching.
Dalam mesyuarat itu beliau menegaskan keperluan seluruh jentera kerajaan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri bersiap siaga berdepan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya tarif timbal balik yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
"Segala perancangan harus segera diterjemah kepada pelaksanaan demi memperkukuh daya tahan dalaman ekonomi negara terhadap sebarang kejutan atau tindakan luar yang mengganggu kelangsungan kita.
"Saya turut mendengar pembentangan berkaitan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak serta insentif cukai Bank Pembangunan Sarawak yang berpotensi memperkukuh ekonomi negeri dan menjana limpahan manfaat kepada rakyat Sarawak, dan Malaysia secara keseluruhan.
"Mesyuarat turut membincangkan hala tuju serta keutamaan projek-projek pembangunan di Sarawak agar diselaraskan dengan perancangan Persekutuan.
"Semoga usaha bersama ini terus menyuburkan kemakmuran dan kesejahteraan buat seluruh warga Bumi Kenyalang," katanya dalam muat naik di Facebook.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof; serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Selepas mesyuarat, PM Anwar terus ke Stadium Perpaduan untuk meraikan Syawal bersama warga Bumi Kenyalang dalam Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025.
Comments