
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan menghormati isu yang menjadi perbincangan umum berkenaan nasib Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India yang dicadang untuk dipindahkan.
Menurut Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin isu berhubung rumah ibadat itu akan diselesaikan oleh pihak kerajaan secara berhemah.
Pada masa sama, katanya, pihak yang meminta didedahkan perjanjian jual beli tanah tapak kuih tersebut perlu bersabar kerana sekiranya dokumen itu boleh didedahkan sekalipun, perkara itu perlu diteliti secara mendalam oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Peguam Negara sebelum hal itu dibenarkan.
"Kerajaan menghormati kebimbangan awam terhadap isu ini dan mengiktiraf bahawa ia menyentuh sensiviti agama serta kepentingan awam.
"Justeru itu adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan segala proses yang berkaitan ditangani secara berhemah, telus dan bertanggungjawab.
"Berkenaan permintaan agar dokukmen Perjanjian Jual Beli pada 2014 antara DBKL dan syarikat pemaju didedahkan saya ingin menjelaskan kerajaan tidak berhasrat untuk menyembunyikan apa apa dokumen atau sebarang fakta yang relevan," kata Shamsul dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberi reaksi sedemikian merujuk kenyataan media dikeluarkan oleh pengamal undang undang Datuk S Ambiga dan N Surendran berhubung isu penjualan tanah yang dikaitkan dengan tapak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.
Tegas Shamsul, sebarang pendedahan dokumen jual beli memerlukan penelitian mendalam berkenaan kerahsiaan kontrak, dan sama ada pendedahan itu akan membantu dalam mencari penyelesaian yang adil.
''Kita perlu berhati-hati agar keinginan untuk ketelusan tidak melanggar prosedur perundangan sedia ada. Prinsip keadilan bukan hanya tertakluk kepada ketelusan, tetapi juga kepada integriti proses undang-undang.
''Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan sedang mencari jalan penyelesaian yang tidak membelakangi mana-mana komuniti dan semua pihak harus menghormati ruang rundingan yang sedang berjalan,'' katanya yang tidak menolak dokumen berkenaan boleh didedahkan sekiranya perlu.
Dalam pada itu, Shamsul menyeru mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada penyelesaian isu tersebut agar mengutamakan penyelesaian, bukannya melakukan provokasi.
''Kita mesti menjaga keharmonian antara agama dan menolak usaha memburukkan imej mana-mana pihak berdasarkan andaian semata-mata.
''Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan segala proses yang berkaitan ditangani secara berhemah, telus dan bertanggungjawab,'' ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan menjadi jaguh berhubung isu pemindahan kuil tersebut.
Anwar dipetik memaklumkan ketika ini, pihak berkaitan sedang berunding bagi mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu itu.
Kuil yang terletak di seberang Jakel Mall berhampiran Jalan Masjid India itu didakwa berusia 130 tahun dan pihak pengurusan kuil telah bersetuju berpindah sebelum NGO dan parti politik campur tangan memanaskan isu.
Comments