Isu syarikat pengendali Menara KL: Tidak perlu babitkan sentimen kaum
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Syarikat bekas pengendali Menara Kuala Lumpur (KL) seharusnya mengambil pendekatan lebih profesional dengan memberi ruang kepada syarikat baharu untuk berkhidmat menguruskan menara ikonik di ibu negara itu.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, beliau yakin syarikat baharu pengendali menara itu sudah melalui proses-proses yang sewajarnya bagi peralihan konsesi.
Ujarnya, apabila sesuatu syarikat atau pihak dilantik kerajaan yang memiliki Menara KL, bermakna mereka telah memenuhi semua syarat untuk menjadi pengendali.
''Saya yakin prosesnya sudah dilalui seperti mana yang diperincikan.
''Bagi saya, dalam isu ini kita jangan membabitkan tentang perkauman seperti status bumiputera dan sebagainya.

''Paling penting, kontrak itu disampaikan dengan cara yang betul dan juga kepada syarikat yang mempunyai pengalaman serta memenuhi syarat dan kriteria untuk mengendali,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas dakwaan bekas syarikat pengendali Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) yang mendakwa mereka bukan sahaja memperjuangkan hak MKLSB, malah hak semua usahawan bumiputera yang sering dianaktirikan di tanah air sendiri.
Dalam isu sama, Nabil berpendapat, setiap syarikat mempunyai hak untuk membawa isu pertikaian ke mahkamah dan sebagainya.
Bagaimanapun, ujar Nabil lagi, pihaknya yakin bahawa setiap keputusan yang dibuat telah memenuhi proses-proses tertentu sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Menerusi satu kenyataan, Kementerian Komunikasi pada 16 April lalu memaklumkan Bangunan Menara KL ditutup sementara waktu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Katanya, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu, akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.
"Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan bahawa Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.
"Bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), menurut kenyataan Kementerian Komunikasi sebelum ini.
Berdasarkan kenyataan itu lagi, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.
Comments