Oleh: Abdullah Zaid
Isu Akuan Bersumpah (SD) sama ada cukup sokongan atau tidak bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tidak sepatutnya timbul setelah hampir dua tahun hal itu berlalu.
Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Bryan Ng Yih Miin berkata, ucapan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin yang masih menjaja dirinya mempunyai cukup SD sudah ketinggalan zaman apabila keabsahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah pun diuji menerusi undi percaya di Dewan Rakyat pada 2022 lalu.
"Bagi saya isu ini tidak patut timbul kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022 dan ketika itu disokong 153 Ahli Parlimen.
"Tindakan tersebut adalah selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2)," katanya kepada Suara Keadilan.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dilaporkan telah menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu menyentuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke 16 melantik PM ke 10 semasa berkempen di Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri baru baru ini.
Antara dokumen yang diserahkan Muhyiddin adalah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022 mengandungi titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong meminta anggota Dewan Rakyat mendapatkan sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Bryan Ng yang juga seorang pengamal undang undang berkata, dokumen SD yang dirujuk oleh Muhyiddin tidak lagi terpakai dalam konteks semasa kerana terdapat Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang tidak bergantung kepada SD untuk membentuk kerajaan.
Bahkan, katanya, dalam episod pembentukan kerajaan pada 2022 itu pendedahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Muhyiddin hanya mempunyai 105 sokongan adalah bukti pemimpin Bersatu itu masih tidak mempunyai cukup jumlah untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya SD diguna pakai.
"SD yang ditandatangani oleh 10 Ahli Parlimen BN tidak sah kerana mereka terikat dengan tiga dokumen yang ditandatangani ketika watikah pelantikan calon BN diberikan sebelum PRU15.
"Sebab itu, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri berjaya disahkan melalui undi percaya di Parlimen, kerana Muhyiddin sudah tidak mempunyai sokongan mencukupi, ia menjadikan dokumen-dokumen terdahulu tidak lagi relevan dari segi undang-undang dan Perlembagaan," ujarnya lagi.
Comentarios