Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Pasti ramai yang tidak sabar menanti lanjutan isu RCI Batu Puteh yang bakal panas semula apabila dibahaskan di parlimen minggu ini.
Laporan Suruhanjaya Diraja atau RCI Batu Puteh akan dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat bakal merungkai pelbagai lagi pencerahan daripada pelbagai sudut.
Speaker Parlimen, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sudah menerima dan meluluskan usul tersebut yang dijangka dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Kita berharap ia akan dibahaskan dan media harus melaporkannya supaya rakyat tahu apa yang berlaku dan dari situ kita akan lihat 'what's next' (tindakan seterusnya)," katanya sebagaimana dipetik media.
Isi penting dalam laporan RCI itu ialah mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.
Malaysia kehilangan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada Singapura selepas Jemaah Menteri yang diketuai Tun Dr Mahathir pada 2018 memutuskan menarik balik rayuan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2007 yang memihak kepada Singapura.
RCI Batu Puteh yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dalam laporannya menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Tun Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.
"Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh setiausaha RCI bagi membolehkan siasatan ini dimulakan," demikian ketetapan RCI itu.
PMX tegas
Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya jelas bersifat tegas mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau menyifatkan pendedahan dibuat RCI Batu Puteh membuktikan wujud pengkhianatan besar kepada negara.
Katanya, proses undang-undang yang bakal diambil bagi menyiasat semula perkara itu harus dihormati semua pihak.
"Pendedahan dibuat RCI itu bukan perkara ringan kerana ia melibatkan kesalahan berkaitan menyerahkan kedaulatan negara kepada pihak lain.
"Setiap inci tanah kita itu patut diperjuangkan habis-habisan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
"Kita tengok proses berikutnya," kata beliau.
Melalui syor RCI yang terang lagi nyata itu, kemudian ia akan dibahaskan di Parlimen dan seterusnya tindakan sewajarnya diambil sebagaimana ketegasan yang diperlihatkan Perdana Menteri, isu ini harus menjadi pengajaran kepada semua kita agar sentiasa menyayangi negara ini dan berusaha sebaik mungkin mempertahankan setiap inci tanahnya.
__________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comentarios