Isu persenda agama: Kompaun berbeza selepas akta dipinda
- Suara Keadilan
- Mar 12
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kompaun dikenakan ke atas pengendali Era FM dan dua personaliti yang mempersenda agama sebelum ini berbeza jumlahnya kerana pindaan terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam ciapannya di X, jumlah kompaun dikenakan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) ke atas syarikat pengendali Era FM menjadi tidak sama dengan yang dikenakan kepada pelawak, Harith Iskander disebabkan faktor kedua duanya melakukan kesalahan sebelum dan selepas pindaan akta dikuat kuasakan.
"Kompaun RM10,000 Harith dan Cecelia diizin TPR, antara lain kerana kesalahan berlaku sebelum 11 Feb, di mana denda maksimum RM50,000 jika disabit di mahkamah," katanya.
Dalam ciapan sama Fahmi juga menjelaskan stesen radio Era FM tidak dikenakan sebarang kompaun, sebaliknya denda dikenakan terhadap syarikat Maestra Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS) yang merupakan pemegang lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, MBNS bukan individu tetapi sebuah anak syarikat milik Astro yang mempunyai keuntungan substantif.
''Kompaun RM250,000 MBNS diberi izin TPR antara lain berpandukan perkara-perkara di atas, dan kerana pindaan Akta 588 telah berkuatkuasa sejak 11 Februari, denda mahkamah maksimum telah naik ke RM500,000,'' jelas beliau.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berharap semoga penjelasan mengenai kadar kompaun yang dikenakan terhadap pelawak, Harith Iskander dan seorang wanita, Cecelia Yap bernilai RM10,000 berbeza dengan kes pengendali Era FM itu jelas dan tidak terus dipolemikkan di media sosial.
Comments