Kenyataan terbaharu Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh bahawa beliau tidak gentar ke mahkamah demi mempertahankan Islam dalam isu pensijilan halal menimbulkan reaksi 'kebingungan' banyak pihak.
Menurut Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Haziq Azfar, kenyataan Dr Akmal yang disifatkan lebih sudu daripada kuah itu tidak wajar diungkapkan beliau kerana isu pensijilan halal hanyalah berkaitan konsumerisme atau kepenggunaan, bukannya perjuangan mempertahankan bangsa atau keagamaan sebagaimana ditimbulkan.
"Sebarang ketidaksetujuan soal pandangan terkait isu pensijilan halal oleh (Ahli Parlimen Seputeh) Teresa Kok boleh sahaja dikritik balas oleh sesiapa, namun wajar difokuskan kepada perkara pokok dalam pensijilan halal itu, bukan dilebih-lebihkan menjadi isu bangsa dan agama," katanya dalam kenyataan.
Bagi Haziq, tidak sepatutnya Dr Akmal memanaskan kembali isu berkenaan sebagaimana tindakan ahli politik pembangkang yang mempolitikkan semua isu.
"Tidak wajar buat ahli politik untuk mencucuh api mencetuskan bahang kemarahan dengan isu kaum dan agama dalam pemikiran masyarakat, tatkala bahan bakarnya tidak pun wujud
"Setiap ahli politik bertanggungjawab mencelikkan masyarakat dengan bertindak balas dengan isu melalui penilaian yang lebih objektif," katanya lagi.
Semalam, Dr Akmal berkata beliau tidak gentar untuk memberi keterangan di mahkamah berkaitan isu yang membabitkan kepentingan Islam dan orang Melayu.
Katanya, dakwaan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan keagamaan adalah persepsi negatif dibangkitkan DAP yang membangkitkan kemarahan orang Islam di negara ini.
Komentarze