
Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad menyelar tindakan memaparkan notis berunsur perkauman di sebuah gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang yang tular baru-baru ini.
Tegasnya, tindakan melabel sesuatu kaum dengan istilah menghina adalah tidak boleh diterima dan bertentangan dengan prinsip keharmonian negara.
"Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Setiap individu berhak dilayan dengan hormat tanpa diskriminasi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tindakan peniaga terbabit mengundang kecaman dari natizen yang rata-rata menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan nilai perpaduan rakyat Malaysia dan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara.
Malah turut menarik perhatian Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang yang menegaskan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama tidak boleh diterima atau dikompromi.
Sementara itu tegas Nik Nazmi, tindakan segelintir individu yang bersikap ekstrem dan rasis seperti itu tidak boleh terus dibiarkan kerana merosakkan hubungan antara kaum yang telah lama terjalin.
Justeru beliau menegaskan kepentingan menyemai semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat.
"Islam mengajar kita untuk saling menghormati dan bertindak dengan kasih sayang, bukan kebencian," ujarnya
Comments