
Isu pemindahan Kuil Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India perlu diselesaikan secara harmoni dan semua pihak digesa menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
Pengarah Strategi KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, tidak sepatutnya ada pihak mengambil kesempatan dari isu itu untuk mencetus ketegangan kaum dan agama di negara ini.
"Isu ini sepatutnya diselesaikan melalui perbincangan dan rundingan bukan dengan kenyataan yang menambah provokasi.
"Semua pihak perlu bertenang dan menghormati keputusan yang dibuat secara adil," tegasnya seperti dilapor media.
Kenyataan itu menyusul tindakan Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek mempersoal kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan merasmikan majlis pecah tanah pembinaan masjid yang bakal dibina di tapak tersebut.
Menurut Zaid, kuil tersebut wajar dikekalkan di lokasi sedia ada, manakala masjid yang baru boleh dibina di atas tapak kosong bersebelahan.
Bagaimanapun Saifuddin menyifatkan kenyataan Zaid sebagai mengeruhkan keadaan berikutan isu tersebut sedang dirunding secara damai oleh pihak berkaitan.
"LFL tidak perlu keruhkan keadaan. Bertimbang rasa orang Melayu Islam tidak semestinya kena menunduk lemah.
"Hak semua pihak perlu dihormati tetapi jangan jadikan ini alasan untuk menekan dan mencabar kedudukan agama Islam di negara ini," tegas Saifuddin.
Sebagai rekod, Ketua Pegawai Kewangan Jakel, Datuk Syed Nasrul Fahmi Syed Muhamad sebelum ini mendedahkan, syarikatnya dan pihak kuil telah mengadakan perbincangan secara baik dan harmoni sejak lapan tahun lalu.
Manakala Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti lokasi baharu untuk pemindahan rumah ibadat itu bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti keagamaan mereka dengan selesa dan harmoni.
Comments