Oleh: Abdullah Zaid
Kabinet hari ini memutuskan isu 'Parallel Pathway' akan dibawa ke sidang Parlimen bagi menyelesaikan status kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM).
Dalam sidang media hari ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan boleh dirujuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi keterangan menyeluruh.
"Isu Parallel Pathway akan dibentang di Parlimen kelak, manakala aspek perincian pula boleh merujuk kepada KKM dan KPT," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Terdahulu, Fahmi memaklumkan isu 'Parallel Pathway' mungkin memerlukan beberapa pindaan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Katanya, Pejabat Peguam Negara sudah memberi beberapa pandangan dari segi perundangan kepada Jemaah Menteri.
Jelasnya, tidak timbul ‘Parallel Pathway’ itu membuka program ijazah sarjana muda perubatan penuh di UiTM.
Sebaliknya, program berkenaan hanya tertumpu kepada program latihan untuk pegawai perubatan sahaja.
Sebelum ini, UiTM menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘Parallel Pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Susulan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun cadangan itu menerima kritikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang membuat kempen #MahasiswaUiTMBantah sambil menegaskan universiti itu hanya untuk Bumiputera seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, badan MPP itu kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka berkait kempen itu yang disifatkan mereka berlaku salah faham dan tidak memberi situasi kes kronologi sebenar.
Comments