Oleh: Abdullah Zaid
Kabinet hari ini dimaklumkan mengenai beberapa pindaan undang undang mungkin dibuat bagi menyelesaikan isu 'Parallel Pathway'.
Dalam sidang media hari ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata pandangan dari segi perundangan itu dimaklumkan Pejabat Peguam Negara kepada Jemaah Menteri dan akan dibawa pada minggu hadapan.
"Pihak Pejabat Peguam Negara sudah memberi beberapa pandangan dari segi perundangan dan Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada.
"Ia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan. Jadi belum diputuskan tetapi ada perkembangan dan kertas (Kabinet) yang dimaksudkan akan dibawa minggu depan," katanya selepas Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Jelasnya, tidak timbul bahawa program ‘Parallel Pathway’ itu membuka program ijazah sarjana muda perubatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada bukan Bumiputera sehingga mengkompromi kuota Bumiputera.
Sebaliknya, program berkenaan hanya tertumpu kepada program latihan untuk pegawai perubatan pasca siswazah sahaja.
Bagi penjelasan lanjut, kata Fahmi, isu berkenaan boleh dirujuk kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi keterangan menyeluruh.
UiTM menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘Parallel Pathway’ dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.
Susulan itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun cadangan itu menerima kritikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM yang membuat kempen #MahasiswaUiTMBantah sambil menegaskan universiti itu hanya untuk bumiputera seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Namun, badan MPP itu kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka terkait kempen itu yang disifatkan sebagai salah faham dan tidak mencerminkan situasi sebenar.
Kommentare