Percubaan penyokong pembangkang memainkan isu 'pembaziran' pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memakan diri mereka sendiri.
Menurut Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, pembangkang seharusnya mempunyai idea yang lebih baik berbanding tindakan menularkan gambar lama PM dijamu kerabat diraja Qatar atau menggunakan helikopter yang telah wujud sejak 2021 dalam lawatan beliau ke Port Dickson baru baru ini, sebagai isu besar.
"Saya lihat pembangkang (dalam kritikan mereka) dah tak ada modal, menyebabkan mereka terdesak menggunakan serangan politik murahan dan bankrap idea
"Yang harus difokuskan ketika ini ialah isu dasar dan kepentingan rakyat
"Kebetulan negara sedang siap sedia pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri. Tetapi kita tak dengar suara pembangkang memberikan komen yang produktif atau konstruktif ke arah penyediaan atau cadangan idea mengenai belanjawan ini," kata Shamsul kepada Suara Keadilan.
Bagi beliau, pemimpin pembangkang yang beberapa bulan lalu adalah adalah Menteri Kerajaan Persekutuan seharusnya tampil bersama idea atau cadangan untuk Belanjawan 2023, dalam usaha secara kolektif memulihkan ekonomi negara.
"Kalau dikatakan mereka tak ada pengalaman, mereka pernah jadi kerajaan. Sewajarnya Ketua Pembangkang atau Presiden Bersatu yang pernah jadi PM melontarkan kritikan terhadap dasar kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar
"Misalnya idea masyarakat Madani itu tidak diberikan pandangan oleh mereka," katanya.
Oleh itu, tegas Shamsul, pembangkang dan penyokong mereka seharusnya lebih bijak dalam mengkritik.
Justeru beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai keupayaan pembangkang dalam membawa isu rakyat demi kemakmuran negara.
"Pada saya politik yang cuba ditunjukkan oleh penyokong pembangkang masih lagi level sekolah rendah. Tidak menunjukkan kepemimpinan yang matang, seperti negara demokrasi matang yang lain.
"Apakah perlu kita jawab? Saya fikir biar rakyat menilai mereka," katanya lagi.
Sejak kelmarin, PM 10 diserang dengan tohmahan bermewah mewah makan nasi Arab bersama beberapa individu di satu foto jamuan sedangkan rakyat disuruh makan Menu Rahmah berharga RM5 sepinggan.
Beberapa Ahli Parlimen yang di dalam gambar tersebut seperti Hassan Karim, Noor Amin Ahmad dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid kemudiannya membuat kenyataan terbuka bahawa jamuan berkenaan adalah sewaktu mereka melawat Qatar dan dijamu bersama beberapa tetamu keluarga Diraja Qatar pada 2019.
Berkenaan helikopter Agusta Westland AW139 yang dikatakan digunakan oleh tentera dalam Op Benteng tetapi menjadi helikopter rasmi PM pula, ianya bukan hal baharu memandangkan helikopter tersebut dibeli pada era PM Muhyiddin Yassin serta tiba di negara ini sejak setahun lalu dan Anwar bukanlah PM pertama yang menggunakannya.
Comments