Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membidas pimpinan Bersatu yang masih mempertahankan ucapan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mempersoal kebijaksanaan Yang di-Dipertuan Agong ke-16 (YDPA) dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, sewaktu berkempen di PRK Nenggiri baru-baru ini.
Timbalan Ketua AMK Bukit Gelugor, Ahmad Fazley Abdul Hafiz berkata, kenyataan pimpinan utama parti bunga itu yang menyifatkan pendakwaan ke atas Ahli Parlimen Pagoh sebagai zalim, perlu diselidik memandangkan laporan polis terhadap Muhyiddin juga dibuat atas gesaan istana Pahang.
"Siapakah yang sebenarnya menzalimi beliau? Tuduhan zalim ini adakah ditujukan kepada pihak Kerajaan atau kepada istana Pahang?
"Adakah mereka mengabaikan kemurkaan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan tidak mengambil kira perasaan serta kebimbangan institusi diraja dalam isu ini?" katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pemimpin Bersatu sepatutnya mencontohi pendirian Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengambil pendekatan berbeza menyokong agar siasatan penuh dijalankan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional itu.
"Nada ini jelas berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan Bersatu yang lain.
"Saya berpendapatan pimpinan Bersatu perlu menerima dengan hati terbuka tindakan yang akan diambil terhadap Presiden mereka.
"Kenyataan yang dibuat oleh beliau telah menyentuh isu yang amat sensitif, dan ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya lagi.
Semalam, Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Tinggi Gua Musang dan didakwa di bawah Akta Hasutan susulan kenyataan beliau yang dikatakan mempertikaikan kebijaksanaan YDPA dalam melantik Perdana Menteri.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 30 laporan polis berkaitan ucapan Muhyiddin dan seramai 66 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan susulan ceramahnya berkait Raja, Agama dan Kaum (3R) dalam kempen PRK DUN Nenggiri.
Comments