
Isu perobohan kuil untuk membina masjid di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur bukanlah yang terakhir sekiranya tidak dilakukan penambah baikan tatakelola kerajaan yang mengambil kira keselesaan semua kaum di negara ini.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, isu yang berlaku melibatkan tapak kuil Dewi Sri Pathrakaliamman didakwa berusia 100 tahun yang heboh dalam minggu ini sebenarnya lebih rumit kerana melibatkan sentimen agama Hindu dan Islam.
Katanya, kedua dua pihak mempunyai hujah dan merit untuk mempertahankan hak masing-masing dan pihak kerajaan perlu menanganinya secara yang amat berhati hati.
"Saya menyeru semua pihak memberikan ruang kepada pihak-pihak mencari solusi damai yang menang-menang dan tidak perlu diapi-apikan isu ini bagi mengelak konflik kaum berlaku.
"(Prinsip) Rahmah bukanlah bermaksud kita mengalah, tetapi mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengekalkan keamanan dan perpaduan kaum dalam negara ini sejajar dengan kehendak Islam.
"Dalam surah al-An’am: 108, Allah mencegah kita menghina agama lain, yang bermaksud “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu”.
"Isu ini juga memberikan pengajaran kepada pentadbiran kerajaan di semua peringkat sama ada persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan untuk memperkukuhkan tatakelola dengan sentiasa peka kepada pembinaan rumah ibadat yang perlu hakmilik berdaftar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Faiz, sewajarnya setiap rumah ibadat di negara ini memperolehi hakmilik atau diberikan hakmilik bergantung kepada syarat dan kelulusan pihak berkuasa atau kerajaan.
Maka, katanya satu reformasi tatakelola pentadbiran perlu dilakukan, termasuk pengubalan undang-undang khas yang boleh juga dijadikan sebahagian daripada cabang Akta Perpaduan Kaum yang masih belum digubal sehingga kini.
Manakala dalam isu kuil dan masjid tersebut, kata Faiz, penyelesaian yang ingin dirunding perlu mengambil jalan tengah terbaik.
"Pihak syarikat yang membeli tanah tersebut (tapak kuil) secara sah mempunyai hak untuk membina masjid secara waqaf kerana ia adalah ibadat dalam Islam bagi mendekatkan diri kepada Allah.
"Jika isu ini dibawa ke mahkamah, sudah pasti prinsip Torrens System akan mengatasi, di mana hakmilik tanah adalah segala-galanya dan perintah perobohan kuil tersebut boleh diberikan.
"Namun, adakah ia boleh menoktahkan polemik ini dan mengharmonikan rakyat dalam negara ini," katanya lagi.
Untuk rekod, sebelum ini pihak pengurusan kuil telah bersetuju menerima pampasan perpindahan daripada pihak syarikat Jakel yang telah membeli tanah sekitar dan tapak kuil tersebut sejak 2014 lalu.
Urusan yang sedang dilakukan kerajaan pada waktu ini adalah mendapatkan tapak gantian bagi membina kuil baharu sebelum pihak pihak tertentu campur tangan dan memanaskan isu kuil tersebut.
Comments