Oleh: Abdullah Zaid
Insiden serangan ganas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dan beberapa insiden menjurus ke arah keganasan selepas itu termasuk ugutan mencederakan Ahli Parlimen Seputeh memerlukan negara ini melihat kembali polisi pencegahan keganasan.
Menurut Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, kerajaan seharusnya memikirkan untuk memperkenalkan program pencegahan keganasan yang lebih berkesan sama ada mengelakkan serangan atau mengembalikan individu yang berfikiran songsang kembali ke dalam masyarakat sivil.
Bagi Nabil, polisi mengembalikan bekas pelampau ke dalam masyarakat sebagaimana yang berjaya dilakukan di Indonesia boleh dicontohi di negara ini.
"Saya bersetuju isu keganasan ini merangkumi semua perkara, baik dari sudut pendidikan, psikologi atau agama. Saya kira perkara ini perlu diperhatikan semula.
"Apa yang kita boleh belajar dari Indonesia adalah pemerintah dan ulama pesantren boleh berkerjasama dalam melawan unsur-unsur keganasan dalam agama, dan menanamkan semangat kedamaian serta penyatuan bangsa Indonesia yang pelbagai," katanya.
Menurut Nabil, kerajaan boleh bekerjasama dengan institusi sekolah pondok, surau dan sebagainya di Malaysia untuk membendung penularan ideologi keganasan daripada terus ditanam oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Kerajaan harus lihat potensi institusi-institusi pondok yang mendapat kepercayaan orang Melayu dalam hal keagamaan.
"Secara keseluruhan kepimpinan Kerajaan Madani juga ada membuat usaha-usaha ini. Ianya telah dilihat digerakkan dari awal seperti Festival Turath Islami Selangor (yang dianjurkan setiap tahun)," ujarnya lagi.
Untuk rekod, siasatan awal polis ke atas penyerang yang membunuh dua anggota polis di Ulu Tiram sebelum ini berkaitan dengan pemikiran radikalnya yang tidak menganggap orang Islam lain mengamalkan Islam sebenar.
Pemikiran songsang dan tidak bercampur dengan masyarakat sekitar, menurut siasatan, mendorong beliau bertindak ganas dan memberontak.
Comments