Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diseru untuk terus komited dalam memberikan perhatian kepada kebajikan petugas sektor kesihatan terutamanya doktor, jururawat, dan pembantu perubatan.
Pengarah Biro Kesihatan KEADILAN Perak, Dr Ahmad Safwan Mohamad berkata, sejak kebelakangan ini terdapat keluhan daripada doktor dan kakitangan kesihatan tentang beban kerja dan kebajikan mereka.
Katanya, ramai yang mengeluh kerana mereka tidak dilayan ‘secara adil’ sedangkan mereka telah diamanahkan untuk menjaga kesihatan rakyat.
''Jadual tugas yang merumitkan, sistem penggiliran yang menyukarkan, dan penyusunan semula elaun kerja lebih masa telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka ‘tidak gembira’ untuk bekerja seperti yang sepatutnya.
''Sambil kita memahami ruang fiskal kerajaan yang sempit, isu kebajikan petugas kesihatan pula adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Dr Ahmad Safwan lagi, pihaknya memahami bahawa gaji penjawat awam baharu sahaja dinaikkan termasuk gaji doktor dan petugas kesihatan yang lain.
Namun ujarnya, jumlah mereka yang meninggalkan perkhidmatan juga semakin meningkat dan aduan berkenaan kesihatan mental juga semakin kedengaran.
''Isu ini jika tidak ditangani dengan segera pasti akan menjadi barah yang akan menghakis kepercayaan dan meruntuhkan sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.
''Justeru, saya ingin menyeru dan meminta KKM di bawah Kerajaan MADANI untuk terus komited memberi perhatian kepada golongan pengamal perubatan.
''Inilah yang kita perjuangkan dalam aspirasi Malaysia MADANI dan selari dengan semangat Kertas Putih Kesihatan (Health White Paper) yang telah diluluskan di Parlimen pada tahun lalu,'' katanya lagi.
Comments