Isu perobohan kediaman suku Bajau Laut yang tidak bernegara seharusnya ditangani dengan cara lebih berhemah.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan rasa kurang senang dengan tindakan pemusnahan beberapa kampung komuniti Bajau Laut yang melibatkan 273 rumah di tujuh pulau kawasan Taman Marin Tun Sakarin oleh Kerajaan Negeri minggu lalu.
Menurut kenyataan itu, perobohan rumah melibatkan 1,500 penduduk Bajau Laut itu seharusnya dielakkan.
"Kami melihat tindakan ini bertentangan dengan nilai manusiawi serta secara tidak langsung mencemarkan imej negara.
"Isu ini memerlukan penyelesaian yang bersifat lebih konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan masyarakat setempat, khususnya rakyat Negeri Sabah.
"Perancangan secara tersusun haruslah dilakukan demi mencari titik penyelesaian bersama," kata kedua dua pergerakan belia itu dalam kenyataan.
Tegas mereka, rata-rata masyarakat Bajau Laut adalah orang yang tiada kewarganegaraan dan seharusnya dibela oleh negara di mana mereka menumpang.
Kata kenyataan itu, anggaran aktivis lapangan terdapat sehingga satu per tiga populasi Sabah yang terdiri daripada warga tanpa negara. Mereka dinafikan hak pendidikan, perkhidmatan perubatan, peluang pekerjaan dan pemilikan harta benda.
Sehubungan itu AMK dan MKM berkata, langkah yang lebih sesuai ialah kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan daripada menggunakan pendekatan merobohkan kediaman dan suku Bajau laut itu kemudian membuka penempatan haram di kawasan lain.
"Kami mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif terutamanya dalam usaha merangka satu pelan jangka panjang bagi menoktahkan isu ini.
"Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada, terutamanya dalam isu kewarganegaraan," katanya.
Dalam kenyataan itu juga AMK dan MKM yakin penyelesaian isu kewarganegaraan merupakan satu keutamaan buat kerajaan hari ini demi mengangkat rukun Ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat.
"Kami percaya bahawa kerajaan sedia ada mampu membuktikan serta komited dalam mendepani cabaran ini selari dengan gagasan reformasi," kata kenyataan itu lagi.
Comments