Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam terus dimainkan oleh pihak pihak yang mahu 'menangguk di air keruh'.
Bagi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perbuatan tersebut amatlah tidak bertanggungjawab kerana mengelirukan rakyat dengan isu yang sengaja diada adakan.
Katanya, isu rampasan bahan terbitan mengandungi kalimah Allah melibatkan Jill Ireland berkenaan sama sekali tidak menyentuh kedudukan peraturan berkaitan penggunaan kalimah Allah tetapi di sekitar percanggahan Arahan Pentadbiran yang dikeluarkan kerajaan pada 1986.
"Hal yang berlegar melibatkan isu pentadbiran terkait isu rampasan VCD milik Jill Ireland, bukanlah isu kalimah ‘Allah’.
"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, oleh kerana terdapat percanggahan dalam Arahan Pentadbiran tahun 1986, maka Kerajaan akan kaji Arahan Pentadbiran yang lebih komprehensif dalam isu penggunaan kalimah “Allah”," katanya dalam catatan di Facebook.
Tambah Saifuddin, selepas kajian terperinci itu dilakukan maka cadangan penyelesaian untuk memantapkan lagi peraturan penggunaan Allah tersebut akan dipersembahkan kepada Majlis Raja raja untuk dijadikan peraturan yang baharu.
"Kemudian Kerajaan akan mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja sepertimana yang telah diperkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (semalam)," katanya lagi.
Sebelum ini, pembangkang memesongkan isu kononnya tindakan Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di atas pengaruh DAP dan sebagainya yang terpesong jauh daripada fakta perundangan berkaitan kes tersebut.
Comments