Oleh: Noraini Nordin
SOROTAN BERITA: Sewaktu isu penyasaran subsidi diesel sedang 'panas' sebaik diumumkan oleh Perdana Menteri (PMX) pada 10 Jun, penulis berada di utara tanah air setelah memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis menggunakan perkhidmatan Electric Train Service atau nama singkatannya ETS pada 11 Jun lalu.
ETS pagi itu (11 Jun 2024) sarat dengan penumpang-penumpang daripada pelbagai bangsa serta peringkat umur termasuklah pelancong asing. Ada yang berkumpulan dan juga bersendirian.
Perkhidmatan tren laju antara bandar Padang Besar, Butterworth, Kuala Lumpur dan Gemas yang diperkenalkan oleh Keretapi Tanah Melayu pada 12 Ogos 2010 telah popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perjalanan penulis ditemani jurufoto Suara Keadilan, Yuisriah Mohd Yusof atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yus berjalan lancar.
Sambil memantau isu-isu semasa melalui portal berita di talian media sosial, meninjau keindahan Tasik Bukit Merah, Perak, penulis juga memasang telinga jika ada para penumpang yang 'bersoksek-soksek' berkaitan isu subsidi diesel.
Perjalanan yang mencecah hampir empat jam itu telah memberi ruang kepada penulis untuk bersembang dengan penumpang-penumpang lain di kafe sambil membeli secawan kopi panas serta sebungkus mee goreng berlauk sambal sotong.
Daripada pengamatan penulis penumpang-penumpang lebih gemar berbual hal-hal santai, teruja bercuti, rancangan membeli belah serta tidak sabar bertemu kenalan atau ahli keluarga masing-masing.
Stesen minyak lengang
Di Perlis penulis meninjau ke Padang Besar, Arau dan juga Kangar.
Ternyata stesen-stesen minyak yang dahulunya menjadi tumpuan pemandu-pemandu kenderaan pacuan empat roda, serta lori-lori kecil berhampiran sempadan Malaysia - Thailand kelihatan lengang.
Penulis singgah ke beberapa restoran, kafe dan juga gerai makan sambil bersembang dengan penduduk tempatan mengenai isu subsidi desel serta yang berkaitan.
Ada juga dalam kalangan mereka meminta penulis membuat pencerahan lanjut berkaitan isu tersebut dan cara untuk memberi penerangan berkenaan subsidi bersasar jika ada yang bertanya.
Berlayar ke Langkawi
Setelah tiga hari dua malam di Indra Kayangan, penulis meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi menggunakan perkhidmatan feri yang berpusat di jeti Kuala Perlis.
Pagi yang indah merentasi lautan ke Pulau Mahsuri itu memang menyejukkan mata serta mendamaikan telinga. Tiada kedengaran 'pok pek' ..'pok pek' atau 'ngok ngek..' berkaitan isu diesel atau harga barangan yang kononnya bakal naik kesan daripada subsidi bersasar tersebut.
Penumpang feri lebih teruja merakam foto-foto keindahan panorama lautan biru, pulau-pulau kecil yang menghijau, bot-bot nelayan pantai serta ungas-ungas yang berlumba menyambar ikan.
Keadaan ini amat berbeza dengan apa yang berlaku di dunia maya (internet). Keriuhan dunia maya kekal gawat berperang dengan ulasan maki hamun, komen tidak berfakta, fitnah berantai-rantai, gara-gara isu subsidi diesel.
Di Pulau Lagenda penulis turut bersembang santai bersama penduduk tempatan yang kebanyakannya usahawan kedai makanan serta para pemilik kereta sewa.
Rumusan yang boleh penulis simpulkan, ternyata tindakan PMX tepat pada masanya. Langkah sepatutnya diambil telahpun diambil untuk menyelamatkan subsidi minyak daripada terus dibaham oleh penyeludup serta pengkhianat negara.
Pengguna diesel tidak terkesan
Kata mereka, subsidi bersasar amat mengembirakan penduduk tempatan.
Rata-rata tanpa berselindung mereka memuji langkah berani PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim merasionalisasikan subsidi diesel.
"Selama ini ada yang mengambil kesempatan seludup diesel, terutama warga asing.
"Kami rakyat tempatan sudah lama menahan sakit mata dan sakit hati dengan kumpulan penyeludup ini. Mereka yang membaham subsidi minyak kita dengan rakus.
"Subsidi bersasar langsung kami tidak susah hati kerana ada subsidi diesel melalui fleet card," kata mereka.
Benarlah apa yang dikongsi oleh penduduk tempatan kepada penulis.
"Isu diesel ini orang-orang baik yang gembira manakala orang-orang ' jahat' yang akan marah membara"
Siapakah yang dimaksudkan baik dan jahat itu, kerana di media sosial yang banyak menghentam Kerajaan Madani adalah netizen yang tidak pun menggunakan kenderaan diesel. Semata mata mahu memanaskan suasana dengan sentimen anti-kerajaan.
_______________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
Comments