
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 99 kertas siasatan berkaitan isu campuran beras import dan tempatan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dipetik laporan media berkata, menerusi Ops Campur yang dijalankan, pihaknya sudah memeriksa 308 premis dan memperoleh 99 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beras.
"Daripada jumlah 99 sampel itu, sebanyak 17 daripadanya telah diserahkan kepada Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).
"Kita serahkan kepada MARDI untuk membuat analisa dan DNA ini kita akan hantar secara berperingkat.
"Jika DNA beras tempatan didapati dalam sampel itu maka kita akan membuat tindakan selanjutnya untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke program Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025 di Putrajaya pada Jumaat.
Armizan sebelum ini menyatakan komitmen kementeriannya untuk melaksana penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah.
Sehubungan itu katanya, Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) akan dikuatkuasa bagi mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
Menerusi akta tersebut, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan dan jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM250,000.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai rasional penggunaan Akta 730 dalam penguatkuasaan isu beras campur, beliau berkata KPDN menggunakan akta berkenaan kerana kewujudan campuran beras import dan tempatan menjadi satu kesalahan iaitu dagangan palsu.
"Di bawah Akta Perihal Dagangan ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu. Kalau mana-mana pihak menjual beras, contohnya dengan label beras import, tetapi sebenarnya ada kandungan beras tempatan bermakna ia membuat perihal dagangan palsu," jelasnya.
Comments