Oleh: Akmal Manaf
Satu laporan polis telah dibuat oleh Persatuan Kebajikan Reformis Negeri Johor (PKRNJ) atau Otai Reformis Johor berhubung isu Pulau Batu Puteh yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.
Pengerusinya, Saiman Omar berkata, beliau dan barisan kepimpinan PKRNJ yang turut sama membuat laporan polis telah memperincikan isu berbangkit mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang mendapati bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah membuat keputusan tidak meneruskan semakan penghakiman ke atas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan pulau itu kepada Singapura tanpa melalui keputusan Kabinet yang merupakan suatu salah laku serius.
"Alhamdulilah, saya dapat menjelaskan satu persatu isu berbangkit mengenai Pulau Batu Puteh yang berada di perairan sempadan antara Johor dan Singapura.
"Isu mula berbangkit pada Mei 2008 di mana ICJ memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura dan sehinggalah kepada siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang keputusannya didedahkan oleh kerajaan kapada awam.
"Kami menggunakan intipati hasil siasatan RCI sebagai alasan kukuh mengapa kami membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
"Keputusan Tun Dr Mahathir untuk tidak meneruskan cabaran semula kes Pulau Batu Puteh tanpa merujuk kepada Parlimen, Jemaah Menteri dan Sultan Johor adalah perbuatan salah laku yang serius oleh seorang Perdana Menteri, sehingga kedaulatan pulau itu hilang selamanya," kata beliau dalam satu kenyataan.
Susulan laporan yang dibuat itu, Saiman merakamkan ucapan terima kasih kepada polis yang memberi layanan terbaik dan memahami hasrat pihaknya membuat laporan.
"Terima kasih juga saya tujukan kapada otai-otai reformis dan wakil-wakil daerah yang datang dari jauh dan sanggup menunggu dalam hujan renyai semata-mata untuk memberikan sokongan," katanya.
Turut menyertai Saiman dalam membuat laporan polis ialah Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor, Abd Hamid Ali dan semasa siasatan dijalankan, dirinya turut ditemani Penolong Setiausaha PKRNJ, Hamdan Basiran.
Comments