top of page

Isu Batu Puteh: KEADILAN Ampang sanggah kenyataan Mahathir



Oleh: Azuan Ab Rahman


Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Ampang menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh.


Setiausahanya, Syafiq Zulkifli berkata, kenyataan Mahathir yang cuba mengheret Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam isu tersebut amat tidak berasas, berniat jahat dan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Dr Wan Azizah.


"Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Batu Puteh amat jelas menyatakan Tun Mahathir telah membuat keputusan sepihak tanpa persetujuan Kabinet.


"KEADILAN Cabang Ampang sentiasa komited untuk menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan akauntabiliti," katanya dalam satu kenyataan.


Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang telah dinyah klasifikasi sebelum ini mendedahkan, Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.


Laporan itu turut mendedahkan, keputusan untuk tidak meneruskan kedua-dua permohonan berkenaan adalah berdasarkan surat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek.


Tindakan Peguam Cara Negara yang memaklumkan kepada Singapura bahawa Malaysia tidak berhasrat meneruskan Permohonan Semakan dan Permohonan Tafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bukan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri.


Susulan itu RCI mencadangkan siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.


Mahathir bagaimanapun mendakwa keputusan itu diputuskan bersama dalam Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 23 Mei 2018. Bagaimanapun alasan itu dinafikan Wan Azizah yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.


Dalam satu kenyataan bersama mereka menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan

"Tun Mahathir perlu bermuhasabah diri sebagai seorang negarawan dan bekerjasama sekiranya ada siasatan seperti saranan Suruhanjaya Siasatan Diraja kerana isu ini melibatkan kedaulatan negara," tambah Syafiq dalam kenyataannya.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page