Kenyataan bekas Perdana Menteri (PM) ke 8, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa keputusan tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran berkenaan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dipersetujui oleh Kabinet pada 23 Mei 2018, adalah tidak benar.
Tiga mantan anggota Kabinet Dr Mahathir hari ini menafikan mereka terlibat membuat keputusan dalam isu yang kontoversi baru baru ini selepas kerajaan membuka Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan untuk penelitian awam.
Menurut mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; mantan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam Kabinet Dr Mahathir yang lalu, tiada persetujuan dibuat oleh Kabinet pada mesyuarat 23 Mei sebagaimana yang disebut oleh bekas PM kepada media beberapa hari lalu.
"Ingin kami tegaskan keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan juga turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.
"Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.
"Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah "pemakluman" di bawah agenda "Hal-hal lain" dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan
"Oleh yang demikian, tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir," kata mereka dalam kenyataan bersama.
Ketiga tiga mereka berpandangan, sebagai negarawan Tun Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan berkenaan dan bukannya memilih untuk meletakkan tanggungjawab di bahu mereka yang tidak terlibat.
"Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini," kata mereka lagi.
Kelmarin Dr Mahathir dilaporkan media sebagai berkata, keputusan untuk tidak meneruskan semakan tuntutan kedaulatan Pulau Batu Puteh dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang turut dihadiri timbalan beliau, iaitu isteri kepada PM pada waktu ini.
Selain itu, Dr Mahathir juga menyebut nama beberapa anggota Kabinet lain yang turut menghadiri mesyuarat seperti Datuk Seri Mohamad Sabu, Anthony Loke, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Pada 5 Disember lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah dimulakan terhadap Mahathir.
Dalam laporan - yang dinyahklasifikasikan di parlimen - RCI menuduh Mahathir menipu kabinet pada tahun 2018 untuk menarik semula semakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.
Menurut RCI, Mahathir membuat keputusan sepihak untuk menghentikan semakan tersebut tanpa persetujuan kabinet, dan hanya memberi taklimat kepada mereka tentang sebab dia berbuat demikian.
Comments