Isu tekanan air rendah di Sungai Bakap telah dan bakal diselesaikan dengan dua kaedah, iaitu membina rumah pam bagi meningkatkan tekanan air sedia ada dan mengambil air dari Sungai Perak.
Hal itu dinyatakan dalam ceramah Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir malam tadi.
Menurut beliau, biar pun sumber air dari Kedah lebih hampir namun dengan sikap pemimpin Kerajaan Negeri yang kurang bersahabat maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih mudah berurusan dengan Perak yang bersetuju membekalkan air ke Seberang Perai Selatan (SPS).
"Untuk memahami masalah di Sungai Bakap, air di Pulau Pinang datang dari utara, iaitu loji Sungai Dua. Melalui loji ini air dibekalkan ke hampir seluruh SPS.
"SPS paling hujung berjarak 50 km (Sungai Bakap). Untuk sampai (ke Sungai Bakap) dia terpaksa melalui pelbagai kawasan. Sebab itu Ketua Menteri Pulau Pinang terpaksa mencari jalan bagaimana untuk kita pastikan isu air diselesaikan secara keseluruhan.
"Dalam keadaan sekarang, waktu saya mula masuk Kementerian Air saya jumpa Ketua Menteri (KM). YAB nyatakan usaha komprehensif, iaitu mencari sumber air yang baru.
"KM susah bincang dengan negeri Kedah, siap suruh bayar (air di sungai) dan sebagainya. Tetapi Pulau Pinang dan Perak boleh duduk sekali bincang, dan Kerajaan Persekutuan setuju salurkan peruntukan (pembinaan empangan, terowong dll). Cuma perkara ini mengambil masa.
"Namun perancangan dasar kerajaan dah ada," katanya.
Bagaimanapun, kata Akmal, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan penyelesaian jangka pendek dalam mengatasi masalah gangguan bekalan air berkenaan dengan membina beerapa rumah pam dan projek berkenaan sebahagiannya telah pun disiapkan.
Misalnya, kata beliau, di Taman Widuri dan Taman Wellesly telah dibina rumah pam serta beberapa projek lain yang berskala kecil untuk tingkatkan tekanan air.
Cuma cabaran pada masa hadapan, kata Akmal, adalah penggunaan air di Pulau Pinang akan sentiasa meningkat kerana banyak pelaburan baharu akan masuk membina kawasan perindustrian baharu.
"Cabarannya bagi saya untuk Pulau Pinang pada jangka panjang perlu sumber air baru.
"Air menjadi cabaran kerana kejayaan Pulau Pinang berjaya tarik pelabur. Wujudkan kawasan komersial, perumahan baru, maka permintaan air meningkat.
"Hal inilah yang perlu perkhidmatan dari wakil rakyat yang boleh faham (keseluruhan masalah air). Bukan kita tak tahu masalah ini. Tetapi yang kita cari dalam PRK adalah wakil yang boleh beri perkhidmatan terbaik dan kemudian kita cari langkah perbaiki isu air," katanya lagi.
Komentáře