
Oleh: Abdullah Zaid
Menteri Dalam Negeri (KDN) membidas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin yang mendakwa Polis Diraja Malaysia tidak membenarkan mana-mana individu bercakap mengenai kepentingan 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja)
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan bahawa badan penguatkuasa itu membenarkan individu untuk bercakap kepentingan 3R asalkan ia tidak menjurus ke arah hasutan dan kebencian.
"Nak bercakap mengenai bangsa tentang kasih sayang, rajin, mahu tingkatkan martabat dan kemuliaan tak ada salah apa-apa berkaitan kalimah sebegini.
"Cuma yang tak boleh apa? (Ucapan) mengundi Pakatan Harapan (PH) adalah bahaya kerana PH menaja kumpulan Yahudi. (Ucapan dibuat) pada 17 September 2022, jam 5 petang, aduan telah dibuat di atas ucapan Pagoh (Muhyiddin Yassin) dalam Ceramah Mega PN Best pada 16 September 2022 di Padang Bukit Muar Parit Jawa," katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhyiddin (PN - Pagoh) berkenaan kenyataan Ketua Polis yang melarang isu berkaitan 3R diungkapkan oleh mana-mana individu selain menyatakan larangan sebegitu tidak pernah dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.
Justeru itu, Saifuddin memberikan contoh lain berkenaan isu 3R termasuk kenyataan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Hadi Awang yang didakwa menuduh PH menggugat hak istimewa orang Melayu dan Islam selain mencabar Perlembagaan Persekutuan sepanjang 22 bulan PH memerintah.
"Bila disebut (oleh PN) PH menolak Islam, menyokong komunis, puak yang khianat dan puak yang menolak raja. Bila masa pula kita (PH) tolak raja? Ini yang diungkap dalam perutusan video ketika kuliah di Masjid Rusila pada 14 Oktober 2022 lalu.
"Oleh itu, dalam konteks inilah Ketua Polis Negara memberikan nasihatnya. Ini konteks dan antara latar belakangnya. Saya ada berpuluh lagi (isu menyentuh 3R).
"Setakat ini ada 104 kertas siasatan dibuka di pihak sebelah sana (PN) ada, di sini (kerajaan) pun ada. Saya boleh berikan lagi bahan untuk memaklumkan di sini," jelasnya lagi.
Comments