Keganasan Israel di Palestin dan Lubnan melalui serangan berterusan ke atas orang awam dilakukan negara haram itu secara berleluasa berikutan kekebalan yang diberikan oleh kuasa Barat ke atas mereka.
Menurut Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah, kuasa Barat terutama Amerika Syarikat (AS) selama ini telah memberi kebebasan mutlak kepada Israel untuk bertindak sesuka hati ke atas sesiapa sahaja yang dianggap musuh.
Sehinggalah, katanya, mangsa terbaharu 6 anggota tentera Malaysia yang bertugas di bawah Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Lubnan pula tercedera dalam serangan Israel ke atas kawasan awam di negara itu.
"Laporan terbaru PBB mengenai pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam di Gaza dan kekejaman di Tebing Barat yang dikeluarkan mengesahkan lagi apa yang dinyatakan dalam laporan Afrika Selatan dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai jenayah perang Israel," kata Raja Bahrin dalam kenyataan.
Tidak cukup itu, tambah beliau, rakyat Israel pula menjadi pengganas menyerang penduduk berketurunan Arab di Belanda baru baru ini.
Katanya, ratusan penyokong Yahudi yang terbang dari Israel ke Amsterdam untuk perlawanan bola telah merosakkan dan menurunkan bendera Palestin yang tergantung di rumah-rumah tempatan dan membakarnya secara terbuka sambil mengeluarkan penghinaan terhadap perjuangan rakyat Palestin di Gaza.
"Vandalisme ganas oleh penyokong Israel ini telah mencetuskan reaksi balas dari penduduk tempatan yang sangat marah dengan tindakan agresif dari ratusan rakyat Israel yang datang ke Amsterdam dan mencetuskan kekacauan," ujarnya.
Bagaimanapun, bidas Raja Bahrin, Datuk Bandar Amsterdam hanya menyalahkan reaksi penduduk tempatan terhadap pencerobohan penyokong Israel itu.
Sikap berkenaan, katanya, merupakan natijah daripada perlindungan berlebihan negara negara Barat ke atas keganasan zionis, sama ada oleh pemerintah mahupun rakyatnya.
"Insiden di Amsterdam menggambarkan bagaimana tindakan keganasan yang berterusan tanpa hukuman telah menjadikan mereka (Israel) berani bertindak sesuka hati di mana-mana negara asing. Tiada garis merah bagi mereka," katanya.
Sehubungan itu, mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu tersebut berharap mesyuarat tergempar negara Arab dan Islam di Riyadh Isnin ini akan membincangkan tindakan yang boleh dilakukan bagi menyekat keganasan rejim zionis.
"Ia juga masa yang tepat untuk menghantar mesej awal kepada Presiden AS yang akan datang, Trump, bahawa dunia Islam sudah cukup tidak tahan lagi dengan sokongan tanpa batasan AS terhadap tindakan genosid Israel
"Kami berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan pemimpin dunia Islam lain sekali lagi akan lantang dan berada di hadapan untuk menyuarakan keprihatinan kami yang mendalam terhadap genosid Israel, dan sokongan tanpa syarat AS terhadap Israel yang bertindak dengan kekebalan dan keangkuhan berterusan di peringkat global," katanya lagi.
Comments