Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh dalam serangan di Iran awal pagi tadi merupakan tunggak perjuangan rakyat Palestin bagi mencapai perjanjian damai namun ia telah disabotaj oleh pihak yang menentangnya.
Perdana Menteri ketika bercakap melalui perbualan telefon dengan seorang pegawai kanan Hamas berkata beliau bersetuju dengan pandangan bahawa Ismail telah melakukan yang terbaik bagi menamatkan keganasan dengan menandatangai perjanjian gencatan senjata untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.
"Saya setuju. Saya pernah bercakap dengan saudara Ismail melalui telefon dan bertemu dengannya di Doha, kami berhubung dengan beberapa rakan kami.
"Beberapa hari yang lalu, maklumat terkini dari saudara-saudara kita di Turki, dan jelas bahawa saudara Almarhum Ismail adalah tonggak perjuangan ini, dan salah satu hal yang diperjuangkan adalah perjanjian damai bagi mengembalikan hak rakyat Palestin.
"Jelas ada unsur sabotaj. Mereka tidak mahu perjanjian damai ini berjaya," katanya dalam perbualan telefon bersama ahli biro politik Hamas, Dr Basem Naim dalam rakamannya dikongsikan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu Basem memberitahu Anwar bahawa pihak penentang Palestin sentiasa mencari jalan baharu untuk menangguh atau menggagalkan usaha gencatan senjata.
Anwar berkata, berita pembunuhan Ismail itu diterima ketika Kabinet sedang bermesyuarat dan seluruh anggota pentadbiran kerajaan terkejut dengan kegilaan rejim Zionis yang bertindak menyerang kediaman, menyiksa tahanan Palestin dan menganggap perang serta keganasan ini boleh berakhir dengan cara sedemikian.
"Saya sedar bahawa kamu (Basem) dan Ismail Haniyeh adalah mujahid dan sahabat yang akrab," katanya.
Anwar berkata rakyat Malaysia tetap teguh mendukung perjuangan untuk sebuah Palestin yang merdeka.
Dalam pada itu, Basem menyatakan pemergiaan Ismail merupakan kehilangan besar bukan hanya kepada rakyat Palestin malah buat seluruh umat manusia yang bermaruah dan merdeka di seluruh dunia.
"Ini adalah kehilangan yang sangat besar tidak hanya kepada rakyat Palestin, tetapi untuk seluruh umat manusia yang merdeka. Saya kenal beliau sejak kecil, beliau seorang pejuang sejati yang telah mengorbankan seluruh hidupnya demi Allah, demi Islam.
"Saya rasa perkara yang paling penting adalah untuk meneruskan perjuangan saudara Ismail sehingga rakyat Palestin mencapai kebebasan dan tertegaknya maruah, dan dengan itu mengakhiri sikap barbarik ini, bukan hanya terhadap rakyat Palestin, tetapi mereka telah melampaui batas, sama ada di Syria, Iraq, Iran dan di mana-mana sahaja.
"Ini adalah mesej kepada semua umat Islam dan warga Arab, bahawa sesiapa sahaja yang memperjuangkan kebebasan adalah sasaran mereka. Justeru, kita mesti bersatu di sini," katanya.
Comments