Ketua politik Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh di ibu negara Iran, Tehran, demikian menurut kenyataan daripada kumpulan yang mentadbir Gaza dan menyalahkan Israel atas kematiannya.
Haniyeh dan salah seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas bangunan tempat mereka menginap dibedil, kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Selasa.
"Gerakan Penentangan Islam Hamas berkabung untuk rakyat Palestin yang hebat, kepada negara Arab dan Islam, dan kepada semua orang bebas di dunia: Saudara, pemimpin, syahid, mujahid Ismail Haniyeh, ketua gerakan, yang terbunuh dalam serbuan Zionis khianat ke atas kediamannya di Tehran," kata Hamas dipetik.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mengumumkan kematian Haniyeh, petik Press TV.
"Awal pagi tadi, kediaman Ismail Haniyeh di Tehran telah diserang, mengakibatkan beliau dan salah seorang pengawal peribadinya mati syahid. Punca kejadian sedang dalam siasatan dan akan diumumkan tidak lama lagi," kata IRGC dalam satu kenyataan.
Ia tidak memberikan butiran tentang bagaimana Haniyeh dibunuh dan IRGC berkata serangan itu sedang disiasat.
Israel masih berdiam diri mengenai kematian Haniyeh, dengan media di sana melaporkan bahawa pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan menteri Kabinet untuk tidak mengulas.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan pada lawatan rasmi beliau ke Qatar untuk bertemu Ismail Haniyeh hingga mencetuskan pertikaian dalam kalangan negara Barat.
Pertemuan tertutup empat mata antara dua pemimpin itu berlangsung di sebuah hotel di bandar itu dengan antara inti pati pertemuan sudah tentu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin.
Anwar turut ditanya mengenai pertemuan tersebut ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo selepas itu.
Perdana Menteri mempertahankan pertemuan beliau dan Haniyeh kerana mereka sudah bersahabat sejak beberapa dekad lalu malah sebelum daripada itu Malaysia turut menegaskan hubungan dengan Hamas adalah melibatkan organ politik dan bukannya sayap ketenteraan.
Anwar menjelaskan, dalam pertemuan itu beliau merayu kepada Haniyeh supaya mematuhi seruan perdamaian, menerima penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, serta pertukaran tawanan.
コメント