Islam memerintah di M'sia, tidak perlu tangguh haji demi menang politik
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu menangguhkan ibadat haji dan umrah bagi memberi keutamaan kepada kemenangan politik dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning terpesong daripada konsep ibadah dalam Islam.
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang itu hanyalah bagi mendapatkan sokongan bagi parti politik yang dipimpinnya.
Sedangkan dalam sejarah, Nabi Muhammad s.a.w menangguhkan ibadat haji dan umrah adalah pada waktu Mekah diperintah oleh kaum musyrikin, sedangkan Malaysia pada waktu ini diperintah orang Islam dan tentunya tiada keperluan memenangkan politik Islam lebih utama daripada mengerjakan haji.
''Abdul Hadi sebut tentang kesinambungan perjuangan Islam, maka apa yang disebut itu menyebabkan Islam itu 'telah dijadikan' hak milik eksklusif parti dia semata-mata.
''Tiada ancaman terhadap agama Islam sama sekali (di negara ini). Pada saya, ia lebih kepada soal persaingan untuk mendapatkan sokongan politik,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi yang mengaitkan politik Malaysia dengan zaman perjuangan Nabi Muhammad s.a.w suatu ketika dahulu dalam ceramah beliau di Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan, persaingan dalam dunia politik tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang menyamai dengan jihad ketika era Rasulullah, apatah lagi yang menjadi musuh politik Pas juga sesama muslim.
''Bagi pihak kerajaan, mereka mahu mengukuhkan kerajaan sedia ada, termasuk dengan mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
''Bagi pihak parti yang dipimpin Hadi Awang pula, ia lebih kepada usaha menambahkan bilangan kerusi yang dimiliki mereka di DUN itu, selain mengukuhkan kelangsungan parti mereka.
''Sebenarnya tiada kaitan langsung dengan menangguhkan ibadat haji dan umrah kerana ia adalah perkara di luar (konteks),'' katanya lagi.
Abdul Hadi mencetuskan kontroversi selepas dilaporkan media memberi bayangan supaya umat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Beliau ketika berucap pada ceramah Perikatan Nasional (PN) malam kelmarin mendakwa, ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah s.a.w dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Comments