Oleh: Akmal Manaf
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius penyebaran tuduhan tanpa bukti oleh seorang ahli politik yang menjejaskan maruah individu dan mencemarkan integriti masyarakat.
Susulan kontroversi itu, Presiden PKPIM, Muhammad Dzul Aiman Zulkefly menyifatkan, politik matang perlu diamalkan dan sebagai asas dalam setiap perbincangan serta tindakan, etika dan integriti harus menjadi pegangan.
Ujarnya, tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru-baru ini berhubung isu titah adendum telah mencetuskan keresahan awam.
''Fitnah adalah racun, kasih sayang adalah penawar. Islam mengajar kita bahawa fitnah adalah dosa besar yang boleh menghancurkan tamadun," katanya.
Lebih bermasalah, katanya, ahli politik Pas yang mempersoalkan isu titah adendum baru baru ini memfitnah pula Perdana Menteri dengan isu salah laku seksual sedekad lalu yang tidak terbukti di mahkamah, dan menyebabkan ahli politik itu melakukan qazaf terhadap individu yang dituduhnya.
"Islam menegaskan larangan fitnah dan qazaf, serta menyeru umatnya untuk menyemai kasih sayang dan menjaga keharmonian.
''Ia memupuk kepercayaan, menguatkan ukhuwah, dan menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang,'' katanya dalam satu kenyataan.
Oleh demikian, Muhammad Dzul berkata, pihak berkuasa perlu menyiasat dan menghukum penyebar fitnah demi menjaga keharmonian negara.
Katanya, rakyat perlu mengutamakan persaudaraan dan sikap saling memahami demi keharmonian dengan menyebarkan kasih sayang.
''Hanya dengan meletakkan kasih sayang sebagai asas kehidupan, kita mampu membina sebuah masyarakat yang harmoni, maju, dan berdaya saing.
''Kita percaya, di sebalik perbezaan pendapat, kasih sayang adalah jambatan penyatuan.
''Sebarkan cinta, padamkan kebencian, dan jadilah agen perubahan kepada masyarakat yang lebih baik,'' ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyeru agar budaya fitnah dihentikan kerana perbuatan itu memecah-belahkan masyarakat dan melanggar prinsip Islam.
''Setiap individu juga diseru untuk kembali kepada nilai-nilai luhur yang diajarkan Islam iaitu memahami fiqh ta’ayush hidup damai dalam komuniti,'' katanya.
Comments