
Islam merupakan agama kasih sayang yang mengutamakan didikan dan nasihat meskipun kepada yang melakukan kesalahan.
Menurut Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Ashraf Hadi, agama Islam tidak pernah membenarkan penganutnya bertindak secara agresif, semberono dan melampaui batas.
"Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan tindakan seorang pengerusi surau ditahan reman selepas mencederakan pelajar lelaki dalam satu perselisihan faham ketika memandu.
"Insiden itu gambaran mudah menjelaskan bagaimana sikap tidak rasional, emosi melulu dan kurangnya pertimbangan menyebabkan imej agama Islam tercemar di mata masyarakat.
"Walaupun perselisihan di jalan raya sering berlaku, namun menggunakan kekerasan fizikal untuk menyelesaikan masalah hanyalah mencerminkan sikap lemah, tidak matang dan jauh menyimpang daripada nilai-nilai Islam yang sebenar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala insiden kedua, kata Ashraf, melibatkan seorang warga emas bertindak menampar pemuda bukan Islam yang makan secara terbuka di bulan Ramadan.
Katanya, walaupun pemuda itu dianggap kurang peka atau sensitif kepada masyarakat Islam namun tidak wajar mana mana individu bertindak biadap dan ganas.
"Islam tidak pernah mengajar umatnya bersikap agresif serta angkuh berikutan perbuatan itu tidak hanya gagal membetulkan keadaan, bahkan mengeruhkan hubungan sesama manusia serta menanam benih kebencian dalam masyarakat majmuk.
"Tindakan sebegini tidak mencerminkan ketinggian ajaran Islam, tetapi memperlihatkan kejahilan, keangkuhan, serta sikap melampau yang hanya menjauhkan masyarakat daripada menghormati Islam sebagai agama yang penuh rahmat," katanya.
Tegas Ashraf, dua peristiwa tersebut meskipun berlainan situasi dan latar belakang, hakikatnya berpunca daripada masalah sama, iaitu gagal bertindak rasional, matang, dan bijaksana.
Ujarnya, setiap Muslim perlu sedar bahawa tindakan mereka sentiasa dinilai, selain dijadikan kayu ukur masyarakat bukan sahaja terhadap diri sendiri, malah lebih penting, terhadap agama Islam itu sendiri.
Oleh itu, beliau menyeru setiap masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, wajib bertindak secara matang, rasional serta berhemah.
"Jangan cemari kesucian agama Islam dengan kedangkalan, keangkuhan, dan sikap melampau diri sendiri. Islam itu agama mulia yang dipenuhi rahmat dan hikmah, jangan sesekali hinakannya dengan kedangkalan serta tindakan jahil yang merugikan seluruh umat.
"Setiap kali umat Islam gagal mengawal emosi atau bertindak tanpa pertimbangan akal yang waras, mereka secara langsung menjadi penyumbang kepada kerosakan imej Islam di mata masyarakat dunia.
"Mereka jugalah yang membuka ruang untuk agama ini dipandang serong, dihina, malah disalah anggap sebagai agama yang memupuk keganasan. Jangan kerana sikap seorang dua yang tidak matang ini, seluruh umat Islam dan agama Islam menerima kesan buruknya," katanya lagi.
Kommentare