Gesaan untuk memboikot program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi dianggap satu tindakan tidak bijak pada waktu kerajaan berusaha mengurangkan jurang kemiskinan dalam kalangan rakyat.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, banyak bukti menunjukkan program IPR telah berjaya meningkatkan pendapatan rakyat yang sebelum miskin kepada kedudukan yang lebih baik.
"Jangan boikot miskin tegar dan keluarga berpendapatan rendah yang mendapat manfaat dari IPR.
"Membantu orang susah itu satu kewajipan dalam Islam, kalau kita tidak boleh sedekah terus, kita bantu dengan beli jualan mereka," kata Rafizi dalam satu siaran video membantah tindakan laskar siber pembangkang yang menyarankan rakyat tidak lagi menyokong inisiatif IPR.
Rafizi dalam masa yang sama menekankan banyak keluarga telah terlepas daripada perangkap kemiskinan dengan menyertai program kerajaan itu dan mampu membina semula masa hadapan mereka.
"Hidup ni keras dik, kalau selalu sakit hati, nanti cepat mati," sinisnya kepada laskar siber terbabit.
IPR melibatkan usahawan yang mengusahakan tanah kerajaan dengan tanaman kontan atau menjual produk makanan di mesin layan diri.
Berdasarkan rekod, sejumlah peserta berjaya meraih pendapatan sehingga RM5,000 melalui operasi mesin layan diri di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN).
Pada waktu ini terdapat tiga inisiatif yang dilaksanakan iaitu Inisiatif Usahawan Tani, IPR-INTAN, IPR-INSAN, dan Inisiatif Operator Perkhidmatan, IPR-IKHSAN.
Daripada 2,536 golongan sasar program itu, 79.2 peratus peserta adalah dari masyarakat Melayu, etnik Sabah dan Sarawak (16.2 peratus), India (2.2 peratus), masing-masing satu peratus bagi Cina dan Orang Asli serta 0.4 peratus masyarakat Siam.
Comments