![Aplikasi iPayment membolehkan semua jabatan kerajaan menggunakan satu sistem. Foto FB Anwar Ibrahim](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_bbcb45c9a6204d60badcdf9fb946df0c~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_bbcb45c9a6204d60badcdf9fb946df0c~mv2.jpg)
Peluncuran Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan, iPayment membolehkan rakyat berurusan dengan lebih efisien dengan semua agensi kerajaan Malaysia tanpa perlu akses kepada sistem pembayaran berbeza bagi setiap jabatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluncurkan aplikasi iPayment pagi tadi memuji sistem tersebut sebagai sebahagian daripada reformasi sistem perkhidmatan awam yang mampu menangani keluhan rakyat dalam isu transaksi elektronik di jabatan kerajaan.
"Saya telah memulakan pagi ini dengan meluncurkan iPayment, yakni Sistem Terimaan Elektronik Kerajaan Persekutuan, tatkala hadir pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan.
"Dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), iPayment ini boleh diguna pakai oleh agensi-agensi kerajaan tanpa perlu membangunkan sistem pembayaran elektronik sendiri.
"Sebelum ini, setiap agensi Kerajaan perlu membangunkan sistem pembayaran tanpa tunai secara individu. Justeru dengan iPayment, semua agensi kini dapat menyediakan perkhidmatan pembayaran elektronik tanpa kos pembangunan tambahan," katanya dalam muatnaik di Facebook.
Anwar berkata, kerajaan Madani melakukan perubahan yang radikal dan sesegera mungkin apabila mendapati banyak rakyat mengeluh berurusan dengan jabatan kerajaan yang mempunyai kaedah pembayaran elektronik berbeza.
Selain itu iPayment yang bakal dilaksanakan secara menyeluruh bermula Mac, katanya, turut mampu menggalakkan lebih banyak penggunaan transaksi tanpa tunai pada masa depan.
"Penggunaan iPayment dan pembudayaan pembayaran tanpa tunai ini mencerminkan Daya Cipta yang menjadi asas dalam nilai-nilai MADANI, mengambilkira kepentingan memanfaatkan teknologi mutakhir sekaligus dapat memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kemaslahatan rakyat," katanya lagi.
Mengikut Belanjawan 2025, iPayment merupakan sistem terimaan elektronik bersepadu yang turut membolehkan pembayaran rentas sempadan negara tanpa batas waktu dan tidak perlu hadir ke pejabat agensi kerajaan.
Sistem tersebut turut memberi keselesaan kepada pengguna dengan menjimatkan masa dan kos serta pilihan saluran mod pembayaran iaitu menggunakan kad debit, kad kredit, kad prabayar, perbankan internet, kod QR serta e-dompet.
Comments