Oleh: Akmal Manaf
Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menjangkakan kira-kira 20,000 usahawan MADANI bakal dilatih pada tahun hadapan.
Pengerusinya, Mustaffa Kamil Ayub berkata, ia adalah hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melahirkan usahawan berdaya tahan, berdaya saing dan mempunyai daya juang yang kental.
"Selaras dengan itu, seramai 10,000 usahawan MADANI dilatih pada tahun ini seperti diseru Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
''Peruntukan INSKEN pada tahun hadapan juga akan bertambah dan sejumlah program baharu bakal diperkenalkan selain program latihan dan bimbingan sedia ada,'' katanya.
Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika mengadakan sesi khas 'Membina Minda Sukses Usahawan MADANI' yang diadakan di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.
Dalam sesi yang disertai 120 usahawan dan bakal usahawan itu, Mustaffa turut menyeru semua pihak agar melahirkan usahawan MADANI.
Katanya, usahawan MADANI merujuk kepada golongan yang mampu menghayati enam rukun Malaysia MADANI dalam amalan keusahawanannya.
''Dengan ihsan, sebagai contohnya bermaksud usahawan tersebut sedia berkongsi rezeki dan rahsia kejayaan.
''Dengan ihsan juga, usahawan akan menjaga integriti dan tidak mengamalkan rasuah, manakala daya cipta bermaksud kreativiti dan inovasi yang berterusan dalam tawarannya kepada pelanggan.
''Demikian juga dengan kemampanan, kesejahteraan, hormat, dan keyakinan,'' ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Mustaffa turut berkongsi berhubung ekosistem keusahawanan yang ditawarkan Kerajaan MADANI dengan kewujudan lebih 60 agensi bagi membangunkan usahawan.
Dalam menyemarakkan ekosistem keusahawanan pula, beliau berkata pewujudan Konsortium Usahawan Madani (KUSMA) adalah dialu-alukan.
Comments