Insiden Putra Heights: Pas Cuba Wujudkan Naratif Negatif?
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 3 min read
Updated: 16 hours ago

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Negara digemparkan dengan kejadian kebakaran besar susulan letupan saluran paip gas bawah tanah yang terletak berdekatan laluan menuju ke Putra Heights.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran itu membabitkan saluran paip gas milik PETRONAS. Kejadian tersebut mengakibatkan 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah dan 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar.
Kepimpinan Kerajaan Madani tidak bertangguh masa untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas, Menteri Besar Selangor telah mengumumkan pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kurang 3 jam dari waktu letupan berlaku. Setelah itu bantuan susulan terus diberikan melalui peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor dan Persekutuan.
Menutup punca sebenar
Sepanjang usaha kepimpinan Kerajaan Madani membantu meringankan beban penderitaan mangsa insiden Putra Heights, muncul cubaan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membentuk naratif negatif bahawa wujud usaha kepimpinan Kerajaan Madani Selangor untuk menutup kesalahan terhadap punca sebenar insiden tersebut.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari melemparkan beberapa tuduhan bagi mencemarkan kredibiliti Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor. Antara tuduhan tersebut termasuklah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak mengendahkan kerisauan penduduk Putra Heights terhadap laluan paip kumbahan yang dipasang berdekatan dengan paip gas yang meletup. Malah Datuk Seri Amirudin turut diminta berundur dari terlibat dengan siasatan insiden Putra Heights.
Tunggu keputusan siasatan
Pertamanya, semua pihak perlu berlapang dada dan menunggu keputusan siasatan dilaksanakan oleh pihak berkuasa, Datuk Seri Amirudin telah memberi jaminan bahawa siasatan berhubung insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights akan dijalankan dengan telus.
Sepanjang insiden tersebut berlaku, MB tidak lebih daripada mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. Jawatankuasa tersebut hanya bertanggungjawab menguruskan keselamatan, kebajikan dan keselesaan semua mangsa yang terkesan.
Pasukan penyiasat yang dipertanggungjawabkan ke atas insiden Putra Heights diketuai oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. MB Amirudin tidak terlibat dalam penyiasatan yang dilakukan itu, malah JBPM telah menggerakkan seramai 25 pegawai penyiasat kebakaran untuk mencari punca sebenar insiden tersebut.
Bagi memastikan proses penyiasatan tesebut berjalan dengan telus maka pemantauan telah melibatkan PETRONAS, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor.
Aduan penduduk diambil tindakan
Terkait dengan tuduhan bahawa MBSJ tidak mengendahkan kerisauan penduduk Putra Heights, Datuk Bandar Subang Jaya iaitu Datuk Amirul Azizan Abd. Rahim mengesahkan bahawa aduan oleh penduduk telah diambil tindakan oleh MBSJ dengan melakukan siasatan di lokasi kerja-kerja mengorek dijalankan sebelum insiden tersebut berlaku.
Hasil siasatan MBSJ mendapati bahawa kontraktor yang terlibat mempunyai permit daripada MBSJ dan PETRONAS selain mematuhi prosedur yang ditetapkan. Kelulusan diberikan terhadap projek tersebut memandangkan proses pelaksanaannya yang mematuhi SOP kerana paip kumbahan dipasang pada kedalaman 2.1 meter manakala paip gas PETRONAS pula berada pada kedalaman 5.6 meter.
Bagi memastikan justifkasi yang diberikan oleh MBSJ itu kukuh maka pasukan audit daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sudah digerakkan ke Koridor Utiliti Selangor (KUSel) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya untuk melihat adakah proses kebenaran dan jajaran mengikut aturan yang ditetapkan.
Naratif negatif tidak bantu mangsa
Seharusnya semua pihak perlu bertenang sepanjang proses siasatan sedang dijalankan, sebarang usaha untuk menimbulkan naratif negatif tidak akan membantu mangsa insiden Putra Heights mengharungi saat getir ini. Sebarang syak terhadap punca insiden ini perlu dipendam buat sementara waktu sehinggalah keputusan siasatan diterbitkan oleh pihak berwajib.
Jika benar ada kecuaian atau kesalahan dilakukan oleh mana-mana pihak, tidak mungkin ia dapat ditutup dengan mudah kerana siasatan secara luaran dan dalaman dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai pihak dan agensi penguatkuasa. Justeru jangan cuba menjadi langau jika tidak mampu menjadi garam.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments