Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Setiausaha Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib mendakwa Kerajaan Madani Selangor tidak mengenakan sebarang tindakan tegas terhadap pihak i-City yang jelas melanggar arahan dan perintah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana tetap meneruskan operasi taman tema selepas berlaku insiden pelampung permainan gelongsor air kaca jatuh dan menimpa pengunjung.
Pas Selangor juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kewujudan unsur kekebalan atau campur tangan pihak tertentu yang memungkinkan i-City beroperasi tanpa kelulusan MBSA.
Kerajaan tidak campur tangan
Namun telahan yang cuba dilakukan oleh Pas Selangor itu sesungguhnya tersasar daripada hakikat sebenar, Kerajaan Madani Selangor tidak pernah masuk campur dalam urusan penguat kuasaan undang-undang oleh MBSA di mana enam notis dan arahan susulan berserta pengeluaran kompaun dan arahan pemberhentian operasi sehingga semua kelulusan dipenuhi telah dikeluarkan kepada pihak pengurusan i-City.
Keputusan untuk meneruskan operasi taman tema oleh pihak pengurusan i-City adalah di luar kebenaran pentadbiran Kerajaan Madani Selangor. Namun setelah berlaku insiden kecederaan pengunjung akibat pelampung permainan gelongsor air kaca maka Kerajaan Madani Selangor mengambil keputusan untuk memperketat pemantauan serta memperkukuhkan syarat keselamatan kepada semua taman tema dan tempat hiburan di Selangor.
Kempen Tahun Melawat Selangor 2025
Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini mengambil pendekatan yang sederhana, tiada gunanya menghukum pihak pengurusan i-City dengan arahan penutupan taman tema tersebut memandangkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 sedang berlangsung. Taman tema i-City ini sememangnya mampu menjadi daya penarik kepada pelancong untuk datang ke Negeri Selangor, hanya isu penambahbaikan serta pematuhan ciri-ciri keselamatan perlu dipatuhi oleh pihak pengurusan i-City.
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim melalui MBSA telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan taman tema terbabit bagi memastikan semua proses pematuhan dapat diselesaikan segera. Di samping itu pihak pengurusan i-City berjanji untuk memulangkan semula wang kepada pelanggan yang sudah membeli tiket memasuki taman tema berkenaan.
Tiada pihak yang cuba menutup kesalahan yang telah dilakukan pihak pengurusan i-City terutama Kerajaan Madani Selangor, kesalahan yang dilakukan telah dihukum dengan denda dan hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang. Namun jangan kerana ‘marahkan nyamuk maka kelambu dibakar’.
Jika pendekatan yang keras diambil oleh Kerajaan Madani Selangor terhadap taman tema tersebut kerana tidak mengikut undang-undang yang diperuntukkan oleh pihak PBT, maka perkara yang sama akan turut terpakai terhadap premis-premis tahfiz dan sekolah agama di bawah pengurusan aktivis Pas di Selangor yang tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Pentadbiran Kerajaan Madani Selangor mementingkan hikmah untuk memandu perjalanannya agar kepentingan semua pihak kekal terpelihara.
_________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
ความคิดเห็น