
Kerajaan MADANI memperluas Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Komunikasi menerusi satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa inisiatif ini diperkenalkan sempena Sambutan Hari Polis ke-218 sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen PDRM dalam memastikan keselamatan negara.
"Pemberian Insentif Rebat Rahmah ini disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com yang memberi manfaat kepada lebih 127,000 orang anggota PDRM.
"Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada April, Mei atau Jun, bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.
"Bagi anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara sekali bayar dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi," menurut kenyataan itu.
Sementara itu kementerian itu memaklumkan, butiran lanjut mengenai insentif itu akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Untuk menyemak senarai soalan lazim, anggota PDRM disarankan merujuk laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.
Sementara itu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di laman Facebooknya berharap insentif itu sedikit sebanyak dapat menceriakan anggota terbabit.
Justeru beliau berharap ia menjadi suntikan semangat untuk mereka terus berkhidmat dengan penuh adil, dedikasi, amanah dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat dan negara.
ความคิดเห็น