![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_ea054a3bd9bd4b1cae1a3a5e69f866dd~mv2.jpg/v1/fill/w_663,h_450,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_ea054a3bd9bd4b1cae1a3a5e69f866dd~mv2.jpg)
Inisiatif Kerajaan Perpaduan membantu para pelajar sekolah di Terengganu perlu diteruskan meskipun negeri itu ditadbir pembangkang.
Menurut Timbalan Pegerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Juwairiya Zulkifli, bantuan yang diberikan kepada kanak kanak sekolah rendah dalam program Kembali Ke Sekolah misalnya amat baik untuk mengurangkan beban ibu bapa mempersiapkan anak masing masing memulakan musim baharu persekolahan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 200 penerima di Kemaman, kelmarin.
"Sambutan majlis dan penerimaan penduduk di sini untuk program ini cukup baik.
"Jadi perlu diteruskan (tahun hadapan) dan pesan saya kepada mereka (aktivis KEADILAN) untuk terus mengerakkan program di bawah inisiatif parti untuk membawa nama baik presiden kita, membawa imej baik kepada parti kerana kita punya kepimpinan berkualiti untuk kita tawarkan kepada rakyat Terengganu," katanya ketika diminta mengulas mengenai penganjuran program Kembali Ke Sekolah.
Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Sihat Kemaman dipengerusikan oleh Ahmad Nazri yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kemaman dan Pengerusi KEADILAN Terengganu.
Ia turut digerakkan bersama Wanita KEADILAN Cabang Kemaman yang diketuai oleh Nurul Akhirah Khairani.
Mengulas polisi Kerajaan Madani yang mengambil berat perihal sekolah dan para pelajar termasuk memperluas Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Juwairiya berkata, hal itu perlu diteruskan bagi memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada pendidikan rakyat.
"Inisiatif yang baik wajar diteruskan malah Kerajaan Madani kita laksanakan dengan perluasan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid tingkatan enam tahun ini dan ia dapat sambutan baik kerana ini pertama kali tingkatan enam terima BAP.
"Selain itu, peruntukan baik pulih sekolah juga merupakan langkah yang tepat kerana pihak sekolah tertunggu tunggu bantuan atau dana khas untuk membaik pulih.
"Hal ini menyentyuh kualiti pembelajaran. Misalnya kalau kipas rosak, tandas rosak, tiada bekalan air dan sebagainya maka mengganggu tumpuan pelajar," katanya lagi.
Comments