Oleh: Abdullah Zaid
Sebanyak RM190,000 disalurkan kepada kariah Surau Al-Ansar, Taman Jaya 3, Temerloh menerusi Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di bawah Kementerian Ekonomi.
Inisiatif IKR adalah julung kalinya diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia bagi membenarkan rakyat melaporkan terus kerosakan kemudahan awam di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada kementerian dan diberi peruntukan untuk membaikinya.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan permohonan untuk membaiki tersebut diperolehi pada bulan Jun 2023 dan diluluskan pada Oktober 2023.
"Tender kemudiannya dikeluarkan pada bulan Mac 2024, sebelum projek membaik pulih dimulakan pada Mei 2024. Jangkaan projek ini siap adalah pada Ogos 2024," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sasaran program IKR Kementerian Ekonomi itu adalah untuk memberi impak secara terus kepada komuniti peringkat akar umbi.
"Permohonan boleh dibuat oleh orang perseorangan atau komuniti setempat ke Kementerian Ekonomi tanpa perlu melalui agensi-agensi kerajaan yang lain.
"Semoga usaha ini dapat memberi manfaat berpanjangan demi keselesaan hidup rakyat," ujarnya.
Untuk rekod, IKR secara konsepnya bertujuan mempercepat dan memudahcara pelaksanaan projek-projek kecil untuk kemudahan rakyat, juga membolehkan kalangan individu, wakil rakyat, jabatan-jabatan kerajaan mengenal pasti projek-projek infrastruktur kecil bernilai RM200,000 ke bawah untuk dilaksanakan segera.
Ia juga bagi membantu kontraktor-kontraktor kecil seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada projek-projek terbabit.
Comments