Lonjakan inflasi berikutan melambungnya harga barang keperluan merisikokan keluarga B40 atau dalam kategori miskin bandar.
Bagi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, golongan miskin bandar yang tertekan itu selepas ini pasti akan lebih berjimat dan berkemungkinan anak anak mereka tidak akan mendapat makanan cukup gizi.
Hal itu, katanya akan memberi dampak berterusan terhadap masalah kekurangan nutrisi dalam kalangan warga berpendapatan rendah.
"Kebelakangan ini makcik makcik di Program Perumahan Rakyat yang berjumpa saya ada berkata, kalau dulu waktu Pakatan Harapan memerintah pernah sekali menteri KPDNHEP lancarkan minyak masak 5kg harga RM16.50 di Lembah Pantai.
"Sekarang kata mereka, nak cari minyak 5 kg tak dapat harga itu. Beli 5 kg minyak peket sekilo (subsidi) pun tak dapat. Kita cuma boleh beli 2 peket sahaja. Memang sekarang orang buat perbandingan itu.
"Cuma pada saya, yang paling menyedihkan kesan secara tak langsung, yang mengalami kesan agak mendadak dalam kalangan anak anak kumpulan miskin bandar. Kalau mereka pergi ke sekolah sebelum ini ada sarapan pagi, selepas ini keluarga miskin ini mungkin terpaksa mencatu makanan," katanya.
Kesan catuan itu, menurut Fahmi, akan mengganggu tumbesaran kanak kanak.
Begitu juga kecergasan dan kecedasan minda mereka akan terjejas. Hal itu, katanya menyebabkan potensi tenaga kerja negara pada masa hadapan juga terjejas sama.
"Kesan yang agak serius kepada tumbesaran anak anak. Kalau waktu dulu kita nampak masalah malnutrisi sangat ketara dalam kalangan anak anak B40.
"Apatah lagi kalau harga barang naik. Sudah pasti anak anak ini akan mencari makan benda murah, kedua sama ada kualiti atau khasiat tidak pada tahap yang mereka perlukan
"Kesan kepada B40 atau kumpulan miskin bandar itu kita nampak. Penekanan tindakan segera kerajaan dalam hal ini adalah wajib untuk menyelamatkan anak anak kita," katanya.
Tegas Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, Menteri Pendidikan perlu segera memikirkan untuk menyediakan bantuan makanan berkhasiat kepada pelajar dari golongan B40 sebagai jalan keluar.
Selain itu, Fahmi turut mencadangkan agar kementerian juga menyediakan makan tengah hari kepada anak anak yang terjejas.
"Sebagai contoh rancangan pemakanan. Bagi saya harus dikembangkangkan bukan setakat sarapan tetapi makan tengah hari juga.
"Sekurang kurangnya anak anak yang tamat hari persekolahan sebelum balik, ada makanan dan dia kenyang. Itu bagi saya akan membantu keluarga yang terkesan.
"Mekanisme sudah ada, cuma patut dikembang luaskan dan saya melihat itu cara sepatutnya difikirkan tetapi tidak dibuat. Itu yang menyedihkan," katanya lagi.
Dasar makan tengah hari percuma pernah dilaksanakan di sekolah rendah pada era 1980an lalu, namun dengan memburuknya keadaan ekonomi waktu ini maka kerajaan sebaiknya melaksanakan semula polisi berkenaan demi perkembangan pendidikan generasi baharu.
Comments