
Kadar inflasi untuk Februari 2025 terkawal dan stabil pada 1.5%.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Indeks Harga Pengguna (CPI) bagi Februari tahun ini menunjukkan tekanan harga semakin menurun sejak Mei tahun lalu.
"Ini (CPI) menunjukkan tekanan harga semakin reda sejak Mei 2024 yang mencatat 2.0%. Ekonomi kita kekal stabil, bukan sekadar angka, tapi kesannya dirasai rakyat," kata beliau dalam muat naik di Facebook.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kadar inflasi Malaysia waktu ini jauh lebih baik berbanding negara jiran seperti Vietnam yang mencatat 2.9% dan Filipina 2.1%.
"Ini beri kelebihan besar untuk tarik pelaburan dan kekalkan keyakinan pasaran," ujarnya.

Rafizi turut mengesahkan kenaikan harga dalam sektor penting semakin perlahan. Misalnya harga dalam sektor perumahan, utiliti dan infrastruktur turun daripada 2.8% kepada 2.3%.
Manakala kos kesihatan dan pengangkutan pula lebih rendah, masing-masing 1.0% dan 0.7%.
"Kadar inflasi ini menunjukkan pergerakan harga barang yang tidak naik secara mendadak dan terkawal memberikan lebih ruang untuk berbelanja," katanya lagi.
Tambah beliau, kerajaan akan terus melaksanakan dasar ekonomi yang akan mengukuhkan ekonomi negara dan memberikan manfaat kepada rakyat.
Comments