
Industri peranti perubatan global dijangka mencapai nilai hampir AS$800 bilion menjelang 2030 dan menyediakan peluang amat besar kepada inovator atau pereka cipta serta pengeluar produk Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, negara mempunyai potensi untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi dalam sektor berkenaan berdasarkan pencapaian semasa.
Manakala MOSTI, katanya, sedia memberikan sokongan dalam bentuk dana, geran, dan ekuiti bagi membantu penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan produk peranti perubatan.
"Pada prapelancaran INNOMed: Innovation Pitching Powered by PERANTIM di Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024, saya menekankan bahawa melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023, kerajaan sedang memupuk sinergi antara pengeluar, sektor kejuruteraan, dan peranti perubatan.
"Ini termasuklah penghasilan alat pemeriksaan canggih seperti pengimejan, endoskopi, peranti boleh ditanam, serta alat bedah yang invasif minimum," katanya.
Selain itu, katanya, data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bahawa dalam tempoh Januari hingga Julai 2024, jumlah perdagangan peranti perubatan negara mencapai RM25.61 bilion, meningkat 23.5% berbanding tempoh sama pada 2023.
Eksport peranti perubatan juga, kata beliau, meningkat 25.7% kepada RM20.15 bilion.
"Ini menunjukkan sektor ini sedang berkembang pesat dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.
"Inovasi dalam industri peranti perubatan bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan, malah membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan kebergantungan kita terhadap teknologi import.
"Matlamat kita adalah untuk mengurangkan kebergantungan import peranti perubatan daripada 95% kepada 50% dalam tempoh lima tahun akan datang. Ini bakal meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam sektor ini," katanya lagi.
Tegas Ahli Parlimen Tanjung Malim itu, kerjasama erat antara universiti, inovator, pengeluar, klinisian, dan agensi kerajaan amat penting untuk memastikan idea-idea inovatif dapat diterjemahkan dengan pantas daripada makmal ke aplikasi klinikal.
Inisiatif tersebut, katanya, akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub inovasi peranti perubatan di peringkat antarabangsa.
Komentáře