Industri CCUS berpotensi jana 200 ribu pekerjaan di bekas lombong minyak
- Suara Keadilan
- Mar 8
- 1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) CCUS atau Pemerangkapan, Penyimpanan, dan Penggunaan Karbon yang diluluskan di Dewan Rakyat baru baru ini dijangka bakal memberikan potensi baharu kepada bekas lombong atau lapangan minyak mentah Malaysia pada masa depan.
Menurut Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, RUU CCUS yang diluluskan pada 6 Mac 2025 lalu akan memberi nafas baharu kepada lombong petroleum dan gas yang telah kehabisan sumber asli.
"Rang undang-undang ini memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek," kata Rafizi dalam muat naik di Facebooknya.
Beliau berkata, Akta CCUS kelak akan menyokong agenda peralihan tenaga negara, dan menjadi pemacu ekonomi baharu.
Ia juga, katanya berpotensi menarik pelaburan sehingga AS$250 bilion menjelang 2050. Manakala sebanyak 200,000 peluang pekerjaan baharu akan dijana.
"Lebih daripada itu, CCUS bakal menghidupkan kembali industri di Pantai Timur, khususnya di Kerteh.
"Tanpa CCUS, Kerteh bakal berdepan cabaran besar apabila sumber gas dan minyak luar pesisir Terengganu semakin menyusut.
"Ini strategi Kerajaan Madani untuk masa depan rakyat Terengganu," kata Rafizi yang juga berasal dari Kemaman, Terengganu.
Untuk rekod, teknologi CCUS digunakan untuk memerangkap dan menyimpan kekal karbon dioksida (CO2) di dalam tanah dan ia adalah antara kaedah mitigasi penting dalam mengurangkan pelepasan CO2.
Malaysia mempunyai potensi besar untuk memajukan industri CCUS dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang ada dalam industri minyak dan gas negara.
Dari segi strategi masa depan, CCUS adalah antara projek inisiatif dalam Pelan hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Comments