
Oleh: Fiza Halim
Pengenalan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi pengelasan baharu kelompok T20, M40 dan B40 terhadap rakyat di negara ini amat kena pada masanya.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, usaha Kerajaan melalui Kementerian Ekonomi itu kelak akan melayakkan golongan yang banyak tanggungan keluarga mendapat bantuan kerajaan biarpun sebelum ini mereka tidak tersenarai.
Katanya, setiap isi rumah berdepan kos sara hidup yang berbeza walaupun mereka mempunyai ukuran pendapatan kasar yang sama, dan hal itu gagal diambil kira oleh kerajaan terdahulu.
"Saya memuji langkah proaktif yang dibawa oleh Kementerian Ekonomi. Ini adalah langkah yang lebih strategik dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap bantuan atau inisiatif yang diwujudkan untuk kepentingan rakyat sampai terus kepada golongan memerlukan.
"Indeks ini bukan sahaja melihat tangga gaji, tetapi soal komitmen. Bagi saya ini lebih adil dan ia satu kejayaan polisi Kerajaan Perpaduan," katanya ketika dihubungi.
Jelas Nabil, indeks baharu ini juga seiring dengan perjuangan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini pernah membawa usul Indeks Kemiskinan Multidimensi Permatang Pauh 2021.
Nurul Izzah, katanya, telah mencadangkan untuk dibangun kayu ukur baharu bagi menilai situasi sebenar pendapatan kasar dan tanggungan ketua isi rumah dalam menafkahi keluarga.
"Kalau kita tengok, sebenarnya sebelum jadi Kerajaan Persekutuan isu tangga (komitmen) kehidupan ini telah dibawa oleh Nurul Izzah melalui indeks yang dia bawa sebelum ini.
"Benda ini juga bukan benda yang baharu bagi kita, kita dah bawa usul penyelarasan (kemiskinan multidimensi) ini sejak zaman pembangkang lagi," katanya.
Mengulas kritikan pembangkang mengenai T20 akan menjadi T15 dan sebagainya, Nabil berpendapat pembangkang perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang dangkal dan tidak relevan, sebaliknya mereka perlu melihat secara positif isu isu rakyat yang cuba diselesaikan oleh Kerajaan Madani secara menyeluruh.
"Pembangkang selalu bermain dengan politik naratif dangkal. Kerajaan Madani terbuka terima kritikan, dan kita lebih banyak buat kerja daripada bercakap," katanya lagi.
Commentaires