
Oleh: Hasbul Ahmad
Sebarang impak, jangkaan atau kesan baik daripada langkah pelesenan media sosial perlu dipantau dan dihebahkan, kata Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Katanya pelesenan media sosial oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mulai 1 Januari lalu amat baik namun perlu diimbangi dengan pendedahan mengenai langkah atau impak dasar itu kepada umum.
"Perlu ada pemberitahuan tentang kesan ataupun impak di sebalik pelaksanaan dasar ini, sejauh mana ia dapat mengatasi masalah-masalah yang sebelum ini timbul diakibatkan yang berpunca daripada salah guna media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian kepada ketika ditemui pada Majlis Iftar Kota Anggerik dan Sambutan Hari Wanita Sedunia di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.
Sebelum ini masyarakat dibelenggu dengan pelbagai tindakan oleh pelbagai pihak tidak bertanggungjawab melalui penulisan mahupun perkongsian di media sosial yang menyentuh sensitiviti, sehingga mengganggu ketenteraman awam dan menyentuh perkara 3R (kaum, agama dan raja).
Sehubungan itu, kata Najwan, keputusan SKMM mengadakan kawalan menerusi pelesenan media sosial dilihat positif serta mampu mengekang jenayah siber seperti penggodaman, penipuan dalam talian (online fraud) dan buli siber.
"Ianya berupaya menjamin ekosistem digital sosial media dalam keadaan yang baik, dan terhindar daripada elemen-elemen negatif yang boleh memberikan impak yang tidak baik kepada masyarakat.
"Khususnya daripada segi kandungan (mudarat seperti) judi online, scammer dan juga fitnah-fitnah ataupun penyebaran berita-berita palsu di sosial media," katanya.
Berdasarkan data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebanyak 289,287 kandungan telah diturunkan sepanjang 2024. Kondungan itu termasuk 189,484 berkaitan judi dalam talian (65.5%), 63,652 berkaitan penipuan (scam) (22%), 17,245 kandungan palsu (5.9%) dan 13,805 kandungan jelik (4.7%).
Hal itu merupakan bukti kukuh keperluan kerajaan menguat kuasakan pelesenan platform media sosial pada 2025.
Comments