top of page

Iktiraf Israel: Ambil tindakan pihak putar belit wawancara PM Anwar - Sekpur



Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (Sekpur) hari ini membuat laporan polis ke atas akaun YouTube Papa Berry Studios ekoran manipulasi ke atas wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rangkaian berita CNN dengan dakwaan kononnya beliau mengiktiraf hak Israel untuk wujud.


Sekretariat itu dalam laporannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur menyatakan pemilik akaun berkenaan cuba menghasut menggunakan sentimen agama bagi membangkitkan kemarahan orang Islam di Malaysia kononnya Perdana Menteri (PM) menyokong Israel.


Naib Pengerusinya Shahbudin Embon berkata, kenyataan berunsur hasutan dan fitnah yang dibuat dalam video terbabit bertentangan dengan Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 dan 5 Akta Fitnah 1957, yang berniat menjatuhkan reputasi kerajaan dipimpin oleh Anwar.


"Kenyataan itu juga berniat jahat untuk mengubah persepsi rakyat yang selama ini menyokong Palestin dan mengutuk Israel.


"Ia berkait kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan niat mencemarkan imej kerajaan, tuduhan fitnah ini sangat berat dan jelas berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Perdana Menteri dan kerajaan," katanya dipetik The Malaysia Press pada sidang media selepas membuat laporan polis itu.


Shahbudin berkata melalui laporan berkenaan, pihaknya menggesa pihak polis menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun YouTube Papa Berry Studios.


Pengerusi Sekpur, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa

Sementara itu, pengerusi sekretariat, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa menegaskan, jawapan Perdana Menteri bahawa negara Israel wujud berdasarkan undang undang antarabangsa tidak ada kaitan dengan pendirian beliau dan negara dalam mengiktiraf rejim Zionis tersebut.


"Dengan jelas Anwar menjawab soalan daripada wartawan CNN langsung tidak ada kaitannya bahawa Perdana Menteri kita menerima sebuah negara haram Israel, tapi tiba-tiba tersebar dengan begitu luas mengatakan Perdana Menteri menyokong Israel. Kita mesti hentikan perbuatan ini, perbuatan ini sebenarnya melukakan hati banyak pihak," katanya.


Tuduhan itu juga, kata beliau, mencemarkan nama baik Malaysia yang mana Perdana Menteri dalam sidang di Riyadh, Arab Saudi telah mencadangkan usul menyingkir Israel daripada keanggotaan PBB dan usul itu telah disambut dan disokong oleh seluruh negara Arab.


"Kalau kita faham maksud menyingkir itu bermakna kita tak pernah terima Israel sebagai sebuah negara yang berdaulat. Betul Israel memang ada tapi bukan bermakna bila sebut - ya Israel ada - bermakna kita menyokong Israel. Sebab itu ada usul untuk menendang keluar Israel daripada PBB.


"Ini bukan masalah politik, ini kenyataan kalau dibiarkan boleh mengundang kemarahan di kalangan umat Islam dan orang Melayu," katanya.


Menurut Mustapa, Malaysia sudah menyalurkan bantuan sejumlah RM44.7 juta ke Palestin selain menghantar pasukan NGO ke wilayah bergolak itu untuk menyampaikan bantuan sebagai tanpa solidariti dan menentang kekejaman Israel.


"Lagi pun mana pernah ada Perdana Menteri sebelum ini berani berucap seperti Anwar, menunjukkan ketegasan beliau cukup jelas.


"Tidak ada unsur sokong Israel, saya harap rakyat akan buat laporan polis ini secara berperingkat di seluruh Malaysia," kata Mustapa lagi.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page