Iklan merosot: Media arus perdana perlu bincang bersama platfom media sosial
- Suara Keadilan
- Sep 6, 2024
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Media arus perdana yang mengalami kemerosotan pendapatan iklan ketika ini dicadangkan berbincang bersama platform media sosial yang menerima lambakan pengiklan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perjanjian komersial dengan platform media sosial mungkin satu langkah yang baik mengimbangi pendapatan iklan yang kian merosot.
"(Pada waktu ini) kira-kira RM2.5 bilion daripada RM4.5 bilion telah disalurkan terus ke media sosial, memintas organisasi media (arus tradisional).
"Ini telah menyebabkan ramai wartawan berpengalaman dan lama berkhidmat diberhentikan... yang amat membimbangkan," kata Fahmi kepada pemberita dalam sidang media majlis ulang tahun ke 25 Asia News Networks di ibu negara hari ini.
Jelas beliau, kerajaan ketika ini tidak bercadang untuk campur tangan dalam isu berkenaan.
Namun, beliau menggalakkan organisasi media arus perdana berunding dengan platform media sosial untuk mencari penyelesaian bagi mendapatkan situasi menang menang.
"Buat masa ini, kerajaan tidak rasa perlu mengikut jejak langkah negara lain (membuat undang undang).
"Kita perlu mengorak laluan kita sendiri dan mencari keseimbangan, titik pertemuan antara organisasi media dan platform media sosial," ujarnya.
Selain itu, Fahmi juga menyatakan kebimbangannya kerana organiasasi media tradisional biasanya mempunyai wartawan yang berpengalaman dan tinggi etika tetapi syarikat media tidak mungkin meneruskan kelangsungan operasi sekiranya tidak mendapat pendapatan iklan mencukupi untuk menjalankan perniagaan.
Comentários