
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi penghormatan besar di Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) sebagai satu satunya ketua kerajaan yang diundang berucap mengupas pandangan menangani isu sektarianisme.
Penghormatan itu diambil Anwar dengan menggesa agar isu sektarianisme dalam kalangan negara Islam atau puak bertentangan fahaman, terutama melibatkan Palestin dan Syria diselesaikan segera.
"Saya tegaskan eksploitasi sektarianisme digunakan sebagai senjata membakar ketegangan, hanya akan memecahbelah masyarakat serta melemahkan kerjasama politik sekali gus menjauhkan kita dari kesatuan yang didambakan
"Alhamdulillah, ucapan saya ini senada dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, menggesa agar sarjana dan kepemimpinan dunia Islam memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai ummah yang bersatu, selain menolak budaya fanatisme agama yang kian mengakar," katanya dalam muat naik di Facebook.
Tegas Anwar, dunia Islam mesti mempamerkan solidariti yang lebih besar terhadap warga Palestin dan tidak sekadar melalui retorik tetapi dengan tindakan yang kolektif, usaha diplomatik yang sistematik dan berterusan serta dukungan ekonomi.
Katanya, pembunuhan beramai-ramai, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan warga Palestin menuntut lebih daripada sekadar kecaman. Dunia Islam harus komited menyediakan dukungan dalam aspek pendidikan, hak, akses kepada kesihatan dan infrastruktur serta suara mereka mesti kedengaran di setiap platform antarabangsa.
"Selain Palestin, saya juga sampaikan (pandangan) bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan selain menggesa dunia Islam untuk sama-sama menyusun masa depan mereka.
"Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyat Syria, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.
"Insya-Allah, biar sejarah mencatatkan melalui tindakan, integriti dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, kita sememangnya satu ummah dengan satu tujuan yang sama," katanya.
PM dalam rangka lawatan rasmi di Bahrain. Di antara tumpuan utama lawatan ialah untuk mengukuh dan meningkatkan kerjasama dalam sektor utama berkepentingan bersama termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan serta isu serantau dan global.
Comentarios