Oleh: Abdullah Zaid
Ibu kepada mendiang pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha menyokong usaha Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan buli siber di platform media sosial.
Menurut ibu Esha, Puspa P Rajagopal, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelak orang lain menjadi mangsa, selain menzahirkan kekecewaan susulan hukuman yang dijatuhkan terhadap pelaku buli anaknya hanya denda RM100.
"Menteri kata nak ambil tindakan (ke atas platform media sosial). Saya sokong penuh tindakan diambil. Saya sedih tengok dia (pembuli) keluar macam ‘action’ (berlagak). Jalan keluar macam tidak ada buat salah. Saya tengok pun, hati saya sedih.
"Macam mana dia boleh kena (denda) RM100 (dari) mahkamah. Anak saya kena, saya tidak mahu anak orang lain jadi mangsa macam itu," katanya dipetik temubual Berita RTM.
Terdahulu, Fahmi dilaporkan berkata tindakan tegas akan diambil terhadap platform media sosial susulan masalah seperti penipuan, penyebaran berita palsu dan buli siber semakin berleluasa di media sosial.
Ia susulan kekecewaan beliau terhadap denda RM100 ke atas pelaku buli Esha susulan tindakan ugutan dan ancaman kepada mangsa selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah di TikTok.
Pada 5 Julai lalu, Esha ditemui meninggal dunia di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur sehari selepas membuat laporan ugutan jenayah dan fitnah yang diterimanya.
Selasa lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap P Shalini yang mengaku bersalah berkelakuan menghina dengan niat menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Comments